Selasa, 4 Jun 2019 | 5:00pm
Fadzil mengambil inisiatif menganjurkan rumah terbuka Aidilfitri untuk artis kelahiran Kedah dan Perlis di Kangar, Sabtu ini. Foto IG Zeel Production

Artis Kedah, Perlis anjur rumah terbuka

KUALA LUMPUR: Kalau hendak berhari raya dengan artis kelahiran Kedah dan Perlis, jangan lupa bertandang ke majlis rumah terbuka istimewa di Laman Budaya, Kompleks JKKN Perlis di Kangar, Sabtu ini.

Antara artis yang sudah menyatakan persetujuan untuk hadir pada acara itu adalah Khai Bahar, Rita Rudaini, Fendy Bakry, Nafiez Zaidi, Mustaqim Bahadom, Ezany Nizariff, Che Mat Raja Lawak dan Aweera.

Inisiatif menganjurkan rumah terbuka itu diambil pemilik Zee Production, Fadzil Teh yang berasal dari Perlis.

“Saya terfikir daripada mereka menganjurkan secara perseorangan, kenapa tidak dilakukan beramai-ramai. Sambil beraya, dapat berkumpul memeriahkan majlis.

“Pada masa sama, saya percaya, cara ini lebih menjimatkan kos. Lebih ramai artis terbabit, insya-Allah pasti banyak lagi tajaan yang akan diperoleh,” katanya kepada BH Online.

Fadzil yang mesra disapa Haji Zil berkata, artis kelahiran Kedah dan Perlis, bukan calang-calang.

“Ramai artis dari utara Semenanjung Malaysia terutama Kedah dan Perlis menempa nama dalam industri hiburan dan mereka masih relevan.

“Jadi, apabila ada acara ramai-ramai begini lebih seronok... Macam kenduri kahwin. Tapi niat kita tak lari untuk menjamu peminat yang selama ini begitu kebal menyokong artis kesayangan mereka,” katanya.

Fadzil berkata, persiapan rancak dibuat untuk majlis itu yang ditaja beberapa pihak termasuk artis.

“Menu wajib seperti ketupat, rendang ayam dan lemang periuk kera antara yang akan disediakan... Kambing golek pun ada.

“Rita pula akan menyediakan mi kari. Kita juga ada laksa, popia, kek, biskut raya dan macam-macam lagi,” katanya yang mengalu-alukan peminat datang ke majlis itu.

931 dibaca
Berita Harian X