Selasa, 4 Jun 2019 | 2:00pm
Sharnaaz bersyukur anak kesayangan, Jebat sudah pulih daripada masalah jangkitan saluran kencing selepas menjalani pembedahan pada 23 Mei lalu. Foto IG Sharnaaz Ahmad

Jebat sihat, raya Sharnaaz lebih ceria

KUALA LUMPUR: Tiada yang lebih menggembirakan buat Sharnaaz Ahmad apabila Syawal yang bakal tiba, disambut dengan kesihatan putera tersayang yang pulih daripada masalah jangkitan saluran kencing (UTI).

Selepas menjalani pembedahan pada 23 Mei lalu, Jebat Jayden disahkan tidak lagi berhadapan masalah itu, malah sudah semakin sihat dan aktif.

Akui Sharnaaz, banyak pihak prihatin dengan masalah kesihatan Jebat, hasil perkongsian hidupnya dengan isteri, Noor Nabila.

“Kesihatan Jebat sembuh dengan kuasa Allah Yang Maha Esa. Saya dihujani mesej daripada rakan-rakan yang prihatin... Terharu sangat.

“Ini adalah bukti Jayden sangat disayangi hingga ke Tanah Suci sahabat-sahabat mendoakannya.

“Semoga Allah merahmati kita semua dunia dan akhirat,” katanya kepada BH Online.

Pada 23 Mei lalu, Jebat yang berusia lapan bulan, selamat menjalani pembedahan mengatasi masalah jangkitan saluran kencing.

Sharnaaz memberitahu, dia sangat terhutang budi dengan semua pihak dan mahu mengucapkan Selamat Hari Raya kepada semua umat Islam di Malaysia.

Sementara itu, Nabila tidak ketinggalan berkongsi entri di Instagram meluahkan rasa syukur atas kesihatan Jebat.

“Terima kasih pada semua pihak yang mendoakan anak saya. Alhamdulillah, Jebat sudah semakin sihat. Dia sudah mula makan, tersenyum dan ajak bergurau... Terima kasih Ya Allah,” katanya.

Sharnaaz dan Noor Nabila bernikah pada 31 Mac 2017 dan dikurniakan Jebat pada 30 Ogos lalu.

949 dibaca
Berita Harian X