Ahad, 2 Jun 2019 | 3:46pm
Nora dan suami lebih banyak meluangkan masa di rumah bersama anak-anak sepanjang Ramadan. Foto NSTP Halimaton Saadiah Sulaiman

'Tukar lokasi, lama-lama okaylah'

KUALA LUMPUR: Biarpun belum berpeluang menjejaki bazar Ramadan Jalan Raja, Nora Danish percaya perubahan lokasi beli-belah keperluan Aidilfitri itu akan mengambil sedikit masa.

Menganggap bazar Ramadan Jalan Tuanku Abdul Rahman (TAR) sebagai ikonik dan sudah menjadi tradisi untuk dikunjungi setiap kali menyambut Ramadan dan Syawal, Nora sedar perasaan pengunjung berbeza apabila tiba di lokasi baharu.

“Bagi penduduk Kuala Lumpur dan ibu kota, apabila lokasi bazar ditukar, mestilah perasaan jadi lain.

“Kehangatannya jadi lain.... ‘vibes’ itu berbeza kali ini.

“Namun, saya percaya, perubahan itu akan mengambil sedikit masa,” katanya kepada BH Online.

Nora berkata, bazar Ramadan Jalan TAR sudah sebati dan menjadi lokasi wajib dikunjungi sebelum ini.

“Terutama apabila menjelang hari raya... Sudah macam suatu tradisi membeli-belah di sana,” katanya.

Nora mengaku ada teman yang sudah berkunjung ke lokasi baharu di Jalan Raja memberitahu, suasananya tidak sama seperti di Jalan TAR.

Mengenai pengisian hari-hari terakhir Ramadan, isteri kepada Nedim Nazri ini mengaku banyak berehat, memberi tumpuan kepada keluarga dan beribadat.

“Suami saya banyak bekerja dari rumah. Kami memanfaatkan masa dengan anak-anak di rumah.

“Mengenai juadah berbuka, kami suka makan di luar termasuk membeli makanan di bazar Ramadan.

“Suami suka makan juadah berbeza setiap hari. Kalau hendak buat kejutan, tak payahlah. Ini kerana cita rasa makanannya sentiasa berubah. Juadah berbuka selalunya bergantung kepada selera suami, saya hanya menurut.

“Saya tak kisah... Menu sama hari-hari pun okay. Suami saya cerewet dalam soal makan,” katanya.

1822 dibaca
Berita Harian X