Rabu, 29 Mei 2019 | 11:00am
NAD selesa membawakan watak berat yang mencabar keupayaannya sebagai pelakon. Foto Mohamad Shahril Badri Saali

Nad Zainal segan bawa watak romantik

KUALA LUMPUR: Peralihan status sebagai isteri dan ibu membuatkan pelakon bertubuh kecil molek, Nad Zainal kurang selesa membawakan watak romantik.

Nad, 29, berkata, dia segan jika lakonannya ditonton suami dan sedapat mungkin, dia cuba mengelak daripada babak yang memerlukannya berpegangan tangan dengan pelakon gandingan.

“Suami tidak menghalang, cuma saya lebih selesa berlakon dalam drama atau telefilem yang tidak mempunyai hero. Tetapi, saya tidak terus menolak tawaran sebegitu.

“Sesekali, saya akan menerima watak romantik sekiranya naskhah yang ditawarkan menarik. Contohnya, saya baru selesai bergandingan dengan Fikry Ibrahim dalam telefilem Hero Tas Tangan.

“Segan sebenarnya berlakon dengan Fikry kerana dia sangat menjaga keperibadian. Bagaimanapun, kami tiada masalah digandingkan bersama,” katanya.

Lulusan Diploma Teater, Akademi Seni Dan Warisan Kebangsaan (ASWARA) itu berkata, dia juga tidak pernah meletak syarat enggan bersentuhan dengan pelakon lelaki ketika di lokasi penggambaran.

“Bagi saya, itu tanggungjawab kami sebagai pelakon, tetapi perlu ada batasan dan jangan keterlaluan. Semua itu bergantung kepada niat.

“Setakat ini, saya tidak terbawa-bawa dengan perasaan hingga ke luar lokasi penggambaran. Saya selesa bekerja dengan Beto Kusyairy, Redza Rosli, Datuk Fizz Fairuz, Shukri Yahya dan Syafiq Kyle.

“Mereka tahu apa yang perlu dilakukan, malah tidak berlebihan atau berkurangan ketika bergandingan,” katanya.

Nad atau nama sebenarnya, Farah Nadia Zainal Abidin berkata, meskipun pernah dibelenggu kontroversi, dia bersyukur kekuatan bakat membuatkan namanya terus bertahan.

“Alhamdulillah, saya masih bertahan tanpa kontroversi. Daripada muda, saya sentiasa cuba menjaga nama baik, malah berusaha mencari jalan untuk menepis jika terjebak dengan cerita kurang enak.

“Saya percaya, bakat akan mengukuhkan nama seseorang dalam liga tersendiri. Tidak perlu kisah kontroversi untuk memastikan nama terus popular dan relevan. Kuncinya adalah keikhlasan dan kesungguhan dalam bekerja,” katanya.

Isteri kepada Muhammad Faliq Amirullah itu juga bersyukur, impian untuk membawakan watak sebagai penagih dadah terlaksana dalam sebuah telefilem arahan Heykal Hanafiah.

“Kalau diikutkan, saya tidak mahu bekerja pada Ramadan, tetapi saya tidak mampu mengetepikan watak dan naskhah yang bagus. Peluang sebegini tidak datang selalu.

“Sepanjang Ramadan dan Aidilfitri nanti, saya akan muncul dengan lima telefilem yang kesemuanya adalah naskhah berat,” katanya yang sibuk menguruskan perniagaan kasut, Farra By Nad Zainal dan produk melangsingkan badan, Audela.

Berita Harian X