Ahad, 26 Mei 2019 | 1:00pm
PENYANYI, Zur Eda, menceburkan diri dalam bidang perniagaan biskut raya sejak lebih tiga dekad lalu. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Zur Eda ditipu pelanggan kenamaan

KUALA LUMPUR: Penyanyi terkenal era 1980-an, Zur Eda, 54, mendakwa pernah ditipu pelanggan, termasuk daripada golongan kenamaan, ketika mengusahakan perniagaan biskut raya.

Zue Eda atau nama sebenarnya Zuraidah Mokhtar berkata, orang kenamaan terbabit membuat tempahan dengan nilai hampir RM6,000.

"Selepas menyiapkan biskut yang ditempah, saya menghubunginya semula. Namun, nombor yang diberikan tiada lagi dalam perkhidmatan.

"Saya seperti hendak menangis kerana sudah berusaha siang dan malam untuk menyiapkan tempahan, namun akhirnya ditipu. Begitupun, saya tidak serik, malah menganggap ia bukan rezeki.

"Saya jual biskut berkenaan di pasar malam dan teman artis juga turut membantu dengan membeli produk terbabit. Akhirnya, ia habis juga dijual," katanya yang mula berjinak-jinak dalam perniagaan sejak di bangku sekolah lagi.

Penyanyi yang popular dengan lagu Pelitaku dan Kelmarin itu berkata, kesibukannya berganda pada Ramadan apabila menerima tempahan pelbagai jenis biskut.

"Saya bukannya baru menjual biskut raya, malah sudah lebih 30 tahun membabitkan diri dalam perniagaan ini. Pelanggan tetap pula semakin ramai, jadi tidak menang tangan dibuatnya setiap kali menjelang Aidilfitri.

“Namun, saya bersyukur apabila anak-anak tidak lupa untuk membantu. Saya perlu menyiapkan sekurang-kurangnya 20,000 balang kuih untuk tempahan.

“Anak-anak pula sudah dilatih mengadun biskut raya sejak mereka masih bersekolah lagi. Dengan ilmu yang diperturunkan kepada mereka, masing-masing tidak kekok membuat adunan kuih,” katanya yang turut memasarkan produk itu di Singapura dan Brunei.

Berita Harian X