Jumaat, 24 Mei 2019 | 4:08pm
PELAKON, Hairul Azreen, ketika hadir pada Kempen Hari Raya Sempurna Seadanya Astro, di Hotel Majestic Kuala Lumpur. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Kecederaan tak halang Hairul tamatkan filem aksi

KUALA LUMPUR: Biarpun mengalami kecederaan pada bahagian kaki, Hairul Azreen, 31, mampu menyempurnakan penggambaran filem aksi terbaru lakonannya, Wira.

Lega apabila dapat menamatkan penggambaran, pelakon terbabit berkata, dia kembali ke lokasi hanya selepas tiga hari doktor mengesahkan ligamen kakinya koyak.

Keputusan itu juga, tegasnya, amat tepat kerana dia sememangnya berharap dapat menemani isteri, Hanis Zalikha, 28, yang dijangka melahirkan anak kedua mereka dalam masa terdekat.

“Alhamdulillah, filem berkenaan dapat diselesaikan mengikut jadual. Memang kemalangan akibat aksi terjun itu menjadi tempoh yang sukar, tetapi saya enggan menyusahkan orang lain jika mengambil cuti.

“Saya juga bukan tidak memikirkan keselamatan diri, cuma rasanya tidak adil kalau penggambaran ditunda semata-mata disebabkan saya. Lagipun, andai kerja tertangguh, saya masih perlu masuk semula ke set, kemudian, sedangkan bila-bila masa sahaja sekarang isteri dijangkakan bersalin anak kedua kami.

“Kini, semuanya sudah selesai dan saya boleh bercuti menemankan isteri serta menjaga bayi kami yang bakal lahir nanti,” katanya.

Terdahulu, rumah tangga mereka diserikan dengan kehadiran cahaya mata sulung, Yusuf Iskandar, yang kini berusia dua tahun tujuh bulan.


HAIRUL bersama isteri, Hanis Zalikha dan anak mereka, Yusuf Iskandar, sewaktu menghadiri majlis tayangan filem Paskal di ibu kota, September tahun lalu. - Foto Nurul Shafina Jemenon

Bercerita mengenai persiapan meraikan 1 Syawal, katanya, kali ini mereka lebih mengutamakan persediaan menyambut kehadiran ‘orang baharu’.

“Tahun ini kami hanya akan beraya di rumah kerana Hanis masih dalam pantang. Jadi, segala persalinan dan persiapan pun dibuat secara sederhana.

“Apa yang saya tahu, dia sudah menyediakan sebuah beg di tepi pintu, yang perlu saya bawa bersama ke hospital, apabila tiba masa dia nak bersalin nanti,” katanya.

Berita Harian X