Selasa, 21 Mei 2019 | 9:00am
Amylea mengaku menjadi penyanyi ‘bidan terjun’ bagi projek lagu Bukan Cinta yang menjadi runut bunyi drama Cari Aku Di Syurga yang disiarkan TV3. Foto Ihsan Amylea Azizan

Amylea jadi penyanyi 'bidan terjun'

KUALA LUMPUR: Rupa-rupanya ada cerita di sebalik lagu melankolik Bukan Cinta yang menjadi runut bunyi drama Cari Aku Di Syurga arahan Shahrulezad Mohameddin yang sedang disiarkan TV3.

Mengikut perancangan awal, lagu ciptaan Farouk Roman dendangan Amylea yang turut menghasilkan lirik itu sebenarnya diberi kepada seorang penyanyi wanita bertaraf legenda untuk dirakamkan.

Namun, timbul masalah dengan syarikat rakaman penyanyi terbabit hingga projek itu terpaksa dibatalkan.

Berikutan sukar mencari pengganti dan kesuntukan masa, Amylea dengan rela merakamkan vokal atas permintaan Shahrulezad.

Menceritakan perkara itu, Amylea atau nama penuhnya, Amylea Azizan mengaku dia sebenarnya penyanyi ‘bidan terjun’ untuk lagu yang sudah dilancarkan di platform YouTube Sony Music Malaysia, pada jam 8 malam tadi.

“Asalnya, lagu ini hendak diberi kepada penyanyi wanita yang saya anggap legenda.

“Cuma pada hari rakaman, penyanyi terbabit berdepan sedikit masalah dengan syarikat rakaman. Saya sangat kecewa kerana beliau adalah pilihan pertama.

“Saya simpati dengan masalah dihadapinya sedangkan latihan sudah dijalankan sejak lama dahulu.

“Ketika itu, saya juga tidak ada masa untuk mencari pengganti dengan segera. Memang ada penyanyi lain menawarkan diri, namun untuk merakamkan single terbabit serta-merta bukanlah mudah.

“Pihak produksi pula tidak boleh menunggu lama. Lalu, saya menawarkan diri dan Shahrulezad juga mahu saya mendendangkan lagu ini,” katanya kepada BH Online.

Ditanya mengenai vokal dan format lagu berkenaan yang dikatakan mirip penyanyi dan komposer, Melly Goeslow, Amylea mengaku sudah biasa menerima tanggapan seumpama itu.

“Komen sama diterima bagi lagu ciptaan Farouk untuk Idayu dan Marsha.

“Sebenarnya, lagu itu hanya mengambil aura Melly kerana Farouk cukup meminati penyanyi berkenaan.

“Jika didengari, melodi dicipta tidak sama dengan karya Melly. Barangkali, susunan muzik sahaja yang dilihat ke arah komposisi Melly,” katanya.

Sebelum ini, Amylea tampil dengan lagu Tetap Kamu berduet dengan Megat Adzuan yang dijadikan runut bunyi drama Nur 2.

Berita Harian X