Ahad, 19 Mei 2019 | 12:55pm
Siti bersyukur niat membawa cahaya mata menunaikan umrah yang dipendam sejak hamil, bakal menjadi kenyataan. Foto NSTP Azhar Ramli

Siti bawa Aafiyah tunai umrah

KUALA LUMPUR: Datuk Seri Siti Nurhaliza teruja hasrat menunaikan umrah bersama puteri kesayangan, Siti Aafiyah Khalid bakal menjadi kenyataan.

Siti, 40, memberitahu, dia akan berangkat ke Tanah Suci ditemani suami, Datuk Seri Khalid Mohamad Jiwa, anggota keluarga dan pengasuh anaknya, minggu hadapan.

“Ini adalah doa Siti sejak hamil lagi iaitu mahu menunaikan umrah bersama anak. Tak sangka, Tuhan menjawab doa yang dipanjatkan Siti dengan begitu cepat.

“Harapan Siti semoga segala urusan membawa Aafiyah ke Tanah Suci dipermudahkan. Apabila difikirkan kembali, ada juga terselit rasa bimbang terutama daripada segi kesihatan dirinya dan keadaan di sana yang ramai orang.

“Tapi Siti akan cari masa yang sesuai untuk membawa Aafiyah ke Masjidil Haram.

“Selain mendapatkan suntikan, Siti membiasakan Aafiyah dengan suasana itu dengan mengajaknya melihat kami menunaikan solat di rumah,” katanya kepada BH Online.

Siti dan keluarga dijangka berada di Tanah Suci selama 10 hari. Kali terakhir Siti menunaikan umrah adalah kira-kira dua tahun lalu.

Dalam perkembangan lain, penyanyi Anta Permana ini menghadiri majlis berbuka puasa dengan kelab peminat, Sitizoner dan penyampaian anugerah oleh syarikat rakaman, Universal Music Malaysia di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, malam tadi.

Pada majlis itu, Siti menerima beberapa anugerah berdasarkan pencapaiannya iaitu Anugerah Platinum 11 kali untuk lagu Anta Permana dan Anugerah Platinum empat kali untuk lagu Comel Pipi Merah.

Siti juga menerima Anugerah Emas untuk single Cinta Syurga yang disampaikan Siti secara duet bersama Khai Bahar.

Mengulas mengenai anugerah yang diterima, Siti menganggap ia sebagai hadiah Ramadan.

“Ini menunjukkan perkembangan yang sangat positif terhadap kerjaya Siti terutama selepas berehat lama kerana melahirkan cahaya mata,” katanya.

Selain beramah mesra, Siti menghiburkan tetamu termasuk lebih 200 peminat dengan dua lagu iaitu Mikraj Cinta dan Sesuci Lebaran.

2631 dibaca
Berita Harian X