Ahad, 19 Mei 2019 | 11:00am
PENYANYI, Fara Hezel, idamkan lelaki bukan dari dunia seni sebagai kekasih. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

'Kisah cinta dengan Erry hanya gimik'

BANGI: Penyanyi, Fara Hezel, 23, mendakwa kisah cintanya bersama pelakon, Erry Putra, sekadar gimik.

Menurut artis yang baru saja muncul dengan single, Sukar Untukku itu, dia dan pelakon berkenaan bukanlah pasangan kekasih seperti pernah dilaporkan sebelum ini.

“Jujurnya, kisah cinta terbabit hanya gimik kami untuk sebuah video muzik yang sedang dihasilkan, ketika itu.

“Bagaimanapun, projek berkenaan tidak diteruskan kerana label yang menaungi saya beranggapan, Erry tidak sesuai disebabkan faktor usia. Memang gelabah juga kerana strategi sudah diatur, tetapi projek pula tidak jadi.

“Itulah yang sebenarnya berlaku dan kami bukannya benar-benar bercinta. Percayalah, saya memang tidak bercinta dengan sesiapapun. Saya masih ‘single’,” tegasnya.

Fara berkata demikian ketika ditemui pada majlis sidang media Festival dan Anugerah Durian Bangi Golf Resort 2019, di sini.

Kira-kira setahun lalu, Fara pernah digosip mempunyai hubungan cinta dengan Erry, 41, yang juga seorang penyanyi, namun cerita itu senyap begitu sahaja. Malah, ada juga yang mengatakan percintaan mereka kecundang di pertengahan jalan.


PELAKON dan penyanyi, Erry Putra, pernah digosip bercinta dengan Fara Hezel, tahun lalu. - Foto Instagram Erry Putra

Ditanya mengenai kriteria yang perlu ada pada lelaki idamannya, kakak kepada Aiman Tino itu berkata, seboleh-bolehnya dia cuba mengelak daripada dijodohkan dengan anak seni.

“Kalau boleh, biarlah lelaki itu bukan dalam kalangan artis. Bukannya apa, apabila kedua-duanya berada dalam bidang sama, topik perbincangan akan berkisar pada perkara serupa.

“Jika diizinkan, biarlah lelaki yang bakal menjadi teman hidup saya daripada bidang berbeza. Saya percaya, kalau dia benar-benar menyayangi, dia akan faham kerjaya saya sebagai penyanyi,” ujar Fara.

2230 dibaca
Berita Harian X