Sabtu, 18 Mei 2019 | 5:48pm
PELAKON dan ahli perniagaan, Nora Danish.

Jangan lagi guna gambar, nama saya - Nora Danish

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nora Danish, mengumumkan dirinya tidak lagi mempunyai kaitan dengan produk kosmetik jenama OhMostWanted, sejak bulan lalu.

Mengusahakan perniagaan berkenaan dengan tiga lagi rakan kongsi, sejak dua tahun lalu, Nora berkata tindakan terbabit diambil demi kebaikan bersama.

“Selepas memikirkan perkara ini semasak-masaknya dan atas sebab tertentu, saya percaya apa yang dilakukan ini untuk kebaikan bersama.

“Saya sendiri begitu mencintai perniagaan kosmetik dan mempunyai perancangan lain pada masa akan datang.

“Melihat perkembangan dan kejayaan jenama itu sejak hari pertama dilancarkan, saya percaya pengunduran diri ini adalah tepat pada waktunya,” katanya kepada BH Online.

Menurut Nora, penarikan dirinya daripada perniagaan itu bukan kerana berdepan masalah bersama rakan kongsi.

“Kami bersikap profesional dalam hal perniagaan. Apa yang dilakukan ini adalah atas kehendak sendiri. Saya doakan mereka terus berjaya,” katanya.

Nora menegaskan, dia membuat penjelasan berkenaan bagi mengelakkan salah faham dan perkara tidak diingini daripada berlaku.

“Bermula 1 Mei, sebarang gambar atau nama saya tidak boleh lagi digunakan jenama itu, bagi apa juga tujuan promosi.

“Pihak terbabit mempunyai masa empat bulan untuk mengeluarkan gambar dan video saya, daripada tempoh kuat kuasa,” katanya yang turut mengusahakan perniagaan salun dan pakaian.

Dalam perkembangan lain, pelakon drama Imaan itu memilih untuk berehat pada Ramadan ini, sekali gus memberi perhatian kepada keluarga.

3740 dibaca
Berita Harian X