Sabtu, 18 Mei 2019 | 11:30am
PENYANYI dan komposer, Hafiz Hamidun. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Hafiz akur pasaran muzik 'BBNU'

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer, Hafiz Hamidun, akur dengan kehendak pasaran muzik semasa yang lebih terarah kepada dendangan artis muda atau ‘budak baru nak up’ (BBNU).

Justeru, dia memilih untuk memperkenalkan bakat remaja berusia 18 tahun, Muaz, sebagai artis pertama di bawah syarikat miliknya, Strumhits.

Malah, bagi memahami dengan lebih mendalam selera orang muda, bekas anggota kumpulan nasyid UNIC itu mengaku turut mendekati artis generasi baharu.

“Saya sendiri berkawan dengan artis muda seperti Ismail Izzani dan As’ad Motawh untuk mengetahui selera muzik mereka. Bahkan, saya pernah menampilkan Ismail sebagai tetamu jemputan ketika bersaing dalam program Gema Gegar Vaganza. As’ad pula merakam singlenya di studio milik saya.

“Seboleh-bolehnya saya cuba fahami apa yang mereka mahu perjuangkan menerusi muzik masing-masing.

“Saya juga bukan berniat untuk melahirkan klon Hafiz Hamidun apabila mencari bakat baharu. Sebaliknya, saya cuba lari daripada kebiasaan dengan mengetengahkan Muaz sebagai artis sulung,” katanya kepada BH Online.

Menurut Hafiz yang cukup dikenali dengan album Zikir Terapi, dia terfikir untuk memiliki artis di bawah label sendiri sejak dua tahun lalu, namun belum bertemu bakat bersesuaian, ketika itu.


BAKAT baharu, Muaz, muncul dengan single sulung berjudul 5 Minit ciptaan Alif. - Foto ihsan Muaz

“Saya mendekati Muaz menerusi laman sosial Instagram selepas melihat kemampuannya ketika menyanyikan lagu artis lain. Kebetulan, bapanya sendiri pernah menjadi vokalis kumpulan rock era 1990-an, Qiara,” katanya yang mengikat bakat baharu terbabit selama lima tahun.

Ujar Hafiz, dia mempunyai pengalaman menghasilkan lagu untuk artis lain seperti Datuk Seri Siti Nurhaliza, Liza Hanim dan Syamsul Yusof, sebelum ini, justeru kini tiba masanya dia memperkenalkan artis sendiri.

Buat permulaan, katanya, Muaz muncul dengan lagu berjudul 5 Minit ciptaan Alif (Sleeq).

750 dibaca
Berita Harian X