Sabtu, 18 Mei 2019 | 9:00am
NIENA belum bersedia ke lokasi penggambaran kerana tidak sanggup meninggalkan anak dengan pembantu rumah. Foto IG Niena Baharun

Niena berkorban demi anak

KUALA LUMPUR: Pelakon Datin Niena Baharun mengakui, masih belum bersedia untuk kembali menerima tawaran berlakon selepas melahirkan anak sulung pada 25 Oktober lalu.

Niena berkata, biarpun diajukan tawaran, dia terpaksa melupakan dahulu minatnya kerana tidak sanggup berjauhan dengan anaknya, Adiel Mikail.

“Adiel baru berusia enam bulan, tunggulah dia besar sedikit baru saya bersedia pertimbang tawaran untuk kembali ke lokasi penggambaran.

“Tidak sampai hati rasanya meninggalkan anak dengan pembantu rumah. Sukar untuk saya meletakkan sepenuh kepercayaan kepada pembantu rumah kerana Adiel agak manja.

“Dia mahu saya sentiasa berada di sisinya. Memang pergerakan saya agak terbatas, namun saya seronok membesarkan sendiri anak. Adiel juga menyusun badan, jadi lebih baik saya berikan perhatian untuk membesarkan dia dahulu,” katanya.

Sebagai inisiatif menjana pendapatan, Niena yang mula dikenali menerusi drama Sayangku Kapten Mukhriz merancang untuk membuka agensi pelancongan.

“Jika semuanya dipermudahkan, insya-Allah, saya dan beberapa rakan merancang untuk membuka agensi pelancongan. Memandangkan saya suka melancong, apa salahnya saya salurkan minat itu untuk menjana pendapatan.

“Lagipun, suami mempunyai lesen dalam pengendalian urusan berkaitan pelancongan, cuma tidak dimanfaatkan kerana kekangan masa. Kami memilih untuk memperkenalkan pakej bebas kerana tidak mahu pelanggan terikat dengan jadual perjalanan yang ketat,” katanya.

Niena yang popular dengan watak Husna menerusi drama Jangan Benci Cintaku mendirikan rumah tangga bersama usahawan, Datuk Aliff Firdaus Abdul Hadi pada 1 Februari 2018 di Kota Bharu, Kelantan.

1527 dibaca
Berita Harian X