Jumaat, 17 Mei 2019 | 6:09pm
PELAKON dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Farid minta tangguh hukuman

KUALA LUMPUR: Pelakon dan pengarah, Datuk Farid Kamil Zahari, hari ini memfailkan rayuan untuk menangguhkan pelaksanaan hukuman penjara sembilan bulan yang diperintahkan Mahkamah Majistret Petaling Jaya, Rabu lalu.

Peguamnya, Megat Syazlee Mokhtarom, berkata pihaknya memfailkan rayuan berkenaan di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi Shah Alam.

“Dalam notis rayuan itu, pihak kami turut menyertakan perakuan segera supaya dapat didengar dengan secepat mungkin.

“Kami berharap, mahkamah akan mendengar rayuan itu sebelum cuti panjang sempena sambutan Aidilfitri,” katanya.

Menerusi notis lain, wakil peguam terbabit juga mengemukakan rayuan bagi hukuman sembilan bulan penjara dan pengawasan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) selama dua tahun.

Terdahulu, Farid, 38, dikenakan hukuman penjara di atas kesalahan mengguna dadah jenis ganja Tetra Hydrocannibol (THC), tahun lalu.

Dalam prosiding Rabu lalu, mahkamah tidak membenarkan permohonan pihak pembelaan untuk penangguhan pelaksanaan hukuman.

Berikutan itu, Farid yang juga bapa kepada dua cahaya mata dibawa ke Penjara Kajang dan hukuman penjara berkenaan diperintah bermula tarikh sabitan, iaitu pada hari sama.

Sementara itu, ditanya mengenai keadaan aktor terbabit, kata Megat, daripada lawatan keluarganya, dia dikatakan dalam keadaan baik.

“Alhamdulillah. Saya dimaklumkan Farid sihat. Dia juga dalam keadaan tenang. Apa pun, pihak kami selaku peguamnya akan berusaha sebaik mungkin membantunya,” katanya.

4451 dibaca
Berita Harian X