Jumaat, 17 Mei 2019 | 5:00pm
PENYANYI, Alif Satar, berbangga dapat merakamkan lagu Sesungguhnya 2019 bersama Raihan. - Foto Nik Hariff Hassan

Duet Alif, Raihan tarik perhatian peminat bukan Islam

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Alif Satar, 28, tidak menyangka lagu Sesungguhnya 2019 yang dirakam bersama penyanyi asalnya, Raihan, mendapat sokongan hebat daripada penggemar seni muzik.

Bahkan, lagu ciptaan sepenuhnya bekas vokalis kumpulan nasyid terkenal itu, Nazrie Johanie, turut menarik perhatian peminat bukan Islam.

Sejak dikongsi di YouTube pada 9 Mei lalu, video rasmi lagu itu sudah ditonton hampir 4 juta kali dan berada pada kedudukan pertama dalam carta sohor kini laman terbabit.

“Saya sendiri tidak menyangka lagu yang pernah dimuatkan dalam album Puji-Pujian ini akan turut digemari kelompok peminat bukan Islam. Saya jadi takjub dan kagum apabila melihat serta membaca komen positif mereka terhadap lagu duet kami.

“Jujurnya, saya masih terasa seperti bermimpi apabila berpeluang merakamkan lagu secara duet dengan legenda nasyid itu. Sememangnya, Raihan adalah kumpulan yang saya cukup kagumi sejak kecil.

“Siapa sangka, daripada ajakan secara suka-suka, ia akhirnya menjadi kenyataan. Semuanya bagai tersusun dengan begitu cantik,” kata bakat yang dicungkil daripada pertandingan One in a Million ini.


KUMPULAN nasyid terkemuka, Raihan. - Foto Amirudin Sahib

Kata Alif, pastinya setiap artis akan berasa teruja apabila dapat bergabung dengan kumpulan yang mencatat jualan album tertinggi di negara ini, suatu masa dahulu, dan dianggap sebagai ‘rockstar’ dalam industri nasyid.

Ditanya apakah duet bersama Raihan menjadi isyarat dirinya akan lebih terarah kepada muzik Islamik selepas ini, Alif berkata, dia bersikap terbuka dalam perkara itu.

“Ia bukanlah sebuah eksperimen, tetapi saya sebaliknya ingin mencabar diri untuk menyanyikan pelbagai genre lagu, termasuk nasyid. Selain pop, jazz dan R&B, saya juga kini berjinak-jinak merakamkan semula lagu dendangan pelbagai artis di YouTube.

“Percubaan merakamkan Sesungguhnya 2019 ini juga bukan bermaksud saya sudah berubah. Cuma, dalam hidup ini, saya sentiasa cuba memperbaiki kelemahan diri. Saya sendiri bukanlah alim sangat, namun cuba menjadi lebih baik daripada sebelum ini.

“Pada masa sama, siapa tahu, usaha duet ini akan membuka mata penyanyi generasi baharu atau ‘budak baru nak up’ (BBNU) untuk mendengar lagu nasyid mereka yang cukup hebat pengisiannya,” kata Alif yang terbabit dengan sebuah program amal bersama Raihan di Putrajaya, petang ini.

1851 dibaca
Berita Harian X