Jumaat, 17 Mei 2019 | 2:17pm
AMYRA dan Amar tidak sanggup melihat Anaqi dibebani ‘komitmen kerja’ pada usia muda. - Foto IG Amyra Rosli

Amyra tak mahu usia muda Anaqi diganggu 'kerja'

KUALA LUMPUR: Meskipun menerima pelbagai tawaran lumayan sebagai duta produk, Amyra Rosli tidak sanggup anaknya yang masih kecil terbeban dengan ‘kerja’.

Bersyukur rezeki anaknya, Aqeef Anaqi, 2, sentiasa murah, pelakon drama Nur itu bagaimanapun, hanya akan menerima sekiranya tawaran itu turut membabitkan dia dan suami, Amar Bahrin.

“Alhamdulillah, banyak juga tawaran yang diterima Anaqi untuk menjadi duta, namun saya dan suami hanya akan mempertimbangkan jika kami terbabit sama. Lebih mudah jika ambil pakej kami bersama.

“Sebagai ibu, saya tidak mahu dia ‘bekerja’ pada usia muda. Kalau tawaran hanya untuk Anaqi, saya memang keberatan menerima. Saya tidak mahu dia penat dan masa kecilnya dihabiskan ke sana sini.

“Seboleh mungkin saya dan Amar mahu Anaqi menikmati usia kanak-kanaknya kerana tugas mencari rezeki adalah tanggungjawab saya dan suami,” katanya.

Ditemui pada majlis sambutan Hari Ibu anjuran The Calla, The Flores dan Hilton KL, baru-baru ini, Amyra berkata, dia pada mulanya berhasrat untuk berehat sepanjang Ramadan.

Selepas terikat dengan komitmen di lokasi penggambaran, Amyra mahu meluangkan masa bersama anak dan keluarga pada bulan mulia.

“Tetapi, rezeki lain pula yang datang apabila saya dan suami ditawarkan tapak untuk berniaga. Sayang pula jika hendak dilepaskan, apatah lagi saya sudah biasa bekerja.

“Kebetulan ada pengeluar biskut menawarkan peluang bekerjasama, mengapa tidak saya dan Amar ambil peluang berniaga biskut kegemaran kami,” katanya.

1175 dibaca
Berita Harian X