Khamis, 16 Mei 2019 | 9:37pm
JABATAN Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS).

Sabitan talak raj'ie PU Abu babitkan lafaz cerai hujung Mac, bukan 13 Mac - JAKESS

SHAH ALAM: Keputusan Mahkamah Rendah Syariah Klang semalam yang mensabitkan lafaz talak raj’ie kali kedua antara Mohamad Abu Sufyan Mohd Mokhtar Rozaidi atau PU Abu dan isteri, Ain ‘Afini Latif membabitkan lafaz cerai dibuat selebriti itu pada akhir Mac lalu.

Justeru Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (JAKESS) dalam satu kenyataan menyatakan laporan dua portal berita membabitkan lafaz cerai PU Abu melalui aplikasi WhatsApp pada 13 Mac lalu adalah tidak benar dan bercanggah.

Kenyataan itu menjelaskan Ain ‘Afini memfailkan dua saman terhadap PU Abu di Mahkamah Rendah Syariah Klang, pada 2 Mei lalu iaitu saman mengikut Seksyen 57 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) (EUKIS) 2003 membabitkan kes ‘Pendaftaran Perceraian di Luar Tanpa Kebenaran Mahkamah’.

Satu lagi saman adalah Kes Saman No. 10022-061-0311-2019, mengikut Seksyen 61 EUKIS, membabit kes ‘Pengesahan Rujuk’ antara beliau dengan PU Abu, yang sebelum ini pernah bercerai di Mahkamah Rendah Syariah Klang pada 28 Januari lalu.

“Kedua-dua kes terbabit dibicarakan serentak pada 15 Mei 2019, kira-kira jam 10.57 pagi di hadapan Hakim 2 Mahkamah Rendah Syariah Klang, Mohd Nurulazhar Mohd Tohar.

“Berdasarkan fakta, keterangan dan bukti yang dikemukakan kepada mahkamah sepanjang perbicaraan kes itu, hakim memutuskan bahawa mahkamah sabitkan rujuk pada 23 Februari 2019 adalah rujuk yang sah; dan mahkamah sabitkan lafaz talak melalui aplikasi WhatsApp pada 13 Mac 2019 adalah tidak sah dan tidak mensabitkan talak,” menurut JAKESS.

Menurut JAKESS, pasangan itu beredar meninggalkan mahkamah selepas prosiding membabitkan kes itu selesai kira-kira jam 11.45 pagi.

“Kira-kira jam 12.30 tengah hari, Mahkamah Rendah Syariah Klang dihubungi Ain ‘Afini melalui telefon memaklumkan PU Abu terlupa untuk menyatakan kepada mahkamah berhubung kewujudan lafaz sekitar hujung Mac lalu yang berbunyi ‘Saya dan dia, isteri saya sudah bercerai.’

“Mahkamah menasihatkan supaya Ain ‘Afini dan PU Abu hadir ke mahkamah dan memfailkan satu kes baharu bagi menentukan status lafaz talak terbabit.

“Justeru, mereka hadir semula ke Mahkamah Rendah Syariah Klang dan memfailkan kes saman mengikut Seksyen 57 EUKIS 2003 yang membabitkan kes ‘Pendaftaran Perceraian di Luar Tanpa Kebenaran Mahkamah’,” katanya.

JAKESS berkata, memandangkan terdapat persetujuan antara Ain ‘Afini dan PU Abu berhubung kes saman itu, mahkamah menetapkan kes terus didengar pada hari sama di hadapan hakim yang lain iaitu Hakim 1 Mahkamah Rendah Syariah Klang, Mohd Hairuddin Ab Rahim.

“Berdasarkan fakta, keterangan dan bukti yang dikemukakan, hakim memutuskan mahkamah sabitkan lafaz talak pada hujung Mac lalu adalah sah dengan talak satu, kali kedua berjumlah dua talak secara talak raj’ie. Defendan beriddah sehingga melahirkan kandungan,” katanya.

Menurut JAKESS laporan portal berita yang menyatakan bahawa ‘Mahkamah Rendah Syariah Klang mengesahkan talak dilafazkan pendakwah muda program realiti Pencetus Ummah (PU) Abu Sufyan terhadap isterinya, Ain ‘Afini Latif menerusi aplikasi WhatsApp Mac lalu adalah sah’ adalah tidak benar dan bercanggah dengan fakta sebenar perjalanan kes itu.

Begitu juga laporan satu lagi portal berita bertajuk ‘Jatuh talak 2... PU Abu dan isteri sah cerai selepas mereka patah balik ke mahkamah kemukakan bukti’ adalah tidak tepat dan bercanggah dengan fakta sebenar bagi pengendalian kes ini.

JAKESS juga memaklumkan, perbicaraan kes pada sesi petang bukanlah sambungan perbicaraan bagi kes sesi pagi.

“Ini kerana kes itu selesai dibicarakan dan hakim yang membicarakan kes sudah ‘functus officio’ iaitu hakim menyelesaikan fungsi atau melaksanakan tugas kehakimannya untuk mendengar kes itu melalui keputusan yang dikeluarkan dan tidak boleh mendengar semula kes terbabit.

“Sebaliknya, perbicaraan kes pada sesi petang adalah satu perbicaraan kes baharu yang difailkan oleh pasangan suami isteri terbabit pada hari sama.

"JAKESS juga menegaskan bahawa pengendalian semua kes yang didaftarkan di Mahkamah Syariah Selangor sentiasa dilaksanakan selaras dengan prosedur ditetapkan oleh undang-undang dan hukum syarak," katanya.

Berita Harian X