Selasa, 14 Mei 2019 | 8:03pm
BIARPUN kudrat terbatas kerana berkerusi roda, Mamat tetap teruskan minatnya berkarya. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Eksklusif: Siri Akhir Laporan Khas Mamat Khalid - Perjuangan Hidup Belum Selesai

Insan seni sejati mempunyai jiwa dan semangat juang yang sangat kental. Sehebat mana halangan atau kekangan yang datang, semua itu cuba dihadapi dengan tenang.

Semangat yang sama juga dimiliki sutradara terkenal, Mamat Khalid ketika berdepan saat getir.

Meskipun masih menerima rawatan susulan dan pergerakan juga terbatas apabila terpaksa menggunakan kerusi roda selepas berdepan komplikasi jantung dan buah pinggang, lelaki separuh abad ini tetap kental menyiapkan kerja seninya.

Menerusi gambar yang dimuat naik di laman sosialnya, Pengarah Terbaik, Festival Filem Malaysia Ke-21 (FFM 21) itu dilihat begitu sibuk menyiapkan telefilem terbarunya, 17 Puasa.

Mamat mempunyai alasan tersendiri, mengapa dia begitu ‘degil’ untuk terus bekerja walaupun ramai yang menasihatkannya supaya berehat.

“Pada awalnya, memang ramai yang tidak bersetuju apabila abang melahirkan hasrat untuk kembali mengarah. Doktor menyuruh abang supaya banyakkan berehat.

“Malah, pihak stesen televisyen juga terkejut apabila mendapat tahu abang mahu mengarahkan telefilem ini. Mereka pada mulanya, menolak cadangan abang itu kerana tidak mahu mengambil risiko.

“Bagaimanapun, selepas meyakinkan abang serius dan mampu menjaga diri serta kesihatan, baru mereka izinkan. Pada abang, proses rawatan perlu melalui tiga cara iaitu makan ubat, bersenam dan mengarah.

“Jika satu daripada tiga benda ini tiada, memang tidak lengkap. Mengarah itu sudah menjadi darah daging dalam diri ini. Selagi Tuhan izinkan abang untuk berkarya, abang tidak akan meletakkan noktah dalam bekerja.

“Abang tidak dapat bayangkan bagaimana keadaan kalau abang hanya duduk diam, tanpa berbuat apa-apa. Keluarga abang memahami apa yang ada dalam diri ini dan mereka tidak membantah,” kata Mamat yang bakal mengarahkan filem sekuel Hantu Kak Limah selepas raya nanti.


MAMAT masih menanti tayangan filem terbarunya, Rock 4: Rockers Never Dai. - Foto NSTP

Galeri seni cetus inspirasi

Bercerita lanjut mengenai filem itu, Mamat berkata, idea menghasilkan sekuel itu tercetus sebaik sahaja dia sedar dari pada koma.

“Skrip filem itu abang tulis selepas abang pulih daripada koma. Ketika itu, idea datang mencurah-curah dan abang anggap ia sebagai petunjuk yang Tuhan masih mengizinkan abang untuk terus berkarya.

“Selain itu, abang juga mendapat tawaran untuk menghasilkan drama bersiri Kampung Pisang,” cerita si penglipur lara moden ini.

Sebaik keluar dari hospital, Mamat lebih banyak menghabiskan masa di kediamannya di Ipoh, Perak dan restoran merangkap galeri seni miliknya, Sarang Art Hub yang terletak di Tanjung Malim.

Selain memberinya ketenangan, galeri itu juga mencetuskan inspirasi untuk dia menghasilkan pelbagai naskhah, sama ada untuk skrin televisyen atau layar perak.

“Kalau bukan di Ipoh, abang akan berada di Sarang. Biasanya kalau ada mesyuarat, penggiat seni akan datang berjumpa abang di sini. Seronok berada di sini kerana abang boleh banyak dapat idea untuk menghasilkan projek seterusnya.

“Selain tempat untuk berkarya, ramai pembikin filem datang berjumpa abang di sini untuk menunjukkan hasil kerja mereka bagi dinilai, selain bertukar-tukar pandangan. Kebanyakan mereka ialah pembikin filem bebas dan pelajar perfileman,” katanya.


SARANG Art Hub di Tanjung Malim banyak memberi inspirasi kepada Mamat dalam berkarya. - Foto NSTP

Anjur festival filem pendek

Lantaran mengagumi kesungguhan dan usaha pembikin filem terbabit, Mamat berkata, dia juga bercadang untuk menganjurkan festival filem pendek yang dinamakan sebagai Tanjung Malim Short Film Festival.

“Cadangan awal, festival filem pendek ini mahu diadakan pada November depan. Bagaimanapun, abang perlu merujuk terlebih dahulu kepada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS).

“Kalau boleh, abang mahu babitkan kerajaan dalam festival ini supaya ia tidak dilihat sebagai acara syok sendiri.

“Tujuan abang anjurkan festival ini adalah untuk memberi laluan kepada golongan pembikinan filem arus perdana dan bebas menonjolkan hasil kerja mereka.

“Selain itu, abang juga berhasrat membawa penggiat seni yang boleh membantu dapat memberikan panduan untuk dimanfaatkan dalam kerjaya mereka.

“Sebagai contoh, abang mahu bawa pelakon Bront Palarae yang mempunyai jaringan rangkaian dengan penerbit luar negara,” kata Mamat bersemangat.

INFO:

Mamat Khalid

* Filem arahannya, Hantu Kak Limah yang ditayangkan Ogos lalu mencatat kutipan pecah panggung dengan RM37 juta.

* Dua filem sentuhan pengarah prolifik ini masih menanti tayangan iaitu Rock 4: Rockers Never Dai dan Manap Karaoke.

* Sedang menyiapkan buku autobiografi yang akan menceritakan mengenai kisah hidupnya yang tidak pernah dibongkar oleh mana-mana pihak sebelum ini.

Berita Harian X