Isnin, 13 Mei 2019 | 8:06pm
MAMAT terhutang budi dengan peminat yang mendoakan kesihatannya ketika dia terlantar di hospital, awal tahun ini. - Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Eksklusif: Siri Satu Laporan Khas Mamat Khalid - Perjuangan Hidup Belum Selesai

Kiriman mesej menerusi aplikasi WhatsApp untuk menemubualnya menerima maklum balas positif pengarah prolifik, Mamat Khalid.

Lebih sebulan dibenarkan keluar dari hospital, Mamat atau nama sebenarnya, Mohamad Mohd Khalid akhirnya bersedia untuk berkongsi pengalaman bertarung nyawa selepas berdepan komplikasi jantung dan buah pinggang.

Sesi pertemuan diatur sehari sebelum menyambut Ramadan bertempat di Sarang Art Hub, Tanjung Malim, Perak, galeri seni dan restoran yang menjadi kebanggaan Mamat serta keluarga.

Meskipun belum pulih sepenuhnya, semangatnya tetap kuat untuk kembali bangkit dan tidak mengalah dengan ujian hidup.

Mengimbas detik ketika terlantar di hospital pada awal tahun ini, Mamat berkata, dia mempunyai alasan tersendiri mengapa tidak bersedia menerima tetamu.

“Abang memang tidak mahu orang datang menziarah di hospital ketika koma dulu. Ada sebab mengapa abang berbuat begitu. Bukan sombong, biarpun ketika itu, abang memang mengharapkan doa semua.

“Selama ini, abang dikenali sebagai seorang yang ceria dan suka berjenaka. Apabila terlantar sakit dengan wayar berselirat, abang tertanya-tanya apa kesudahan hidup abang.

“Tubuh juga sudah bertukar kehitaman. Abang tidak mahu orang yang datang melawat sedih melihat keadaan abang begitu. Jika apa-apa berlaku, abang berharap dalam ingatan mereka, terakam memori Mamat Khalid yang suka berlawak dan ceria, bukan terlantar lesu serta putus asa.

“Abang tidak mahu padamkan memori yang sekian lama abang semai dalam fikiran ramai selama ini,” ujarnya membuka bicara petang itu.


MESKIPUN terpaksa berkerusi roda, jiwa seni Mamat tidak pernah mati. Foto NSTP

Tak harap simpati

Bukan saja enggan membuat peminatnya sedih, pengarah berusia 56 tahun ini juga tidak mahu mereka bersimpati melihat keadaannya itu.

“Abang tahu simpati bermakna orang menyayangi kita, tetapi itu yang cuba abang elakkan. Abang tidak mahu orang simpati atau kasihan.

“Pernah berlaku, ketika masih di hospital, ada individu yang berhasrat mewujudkan tabung untuk membantu abang.

“Dalam keadaan masih tidak sedarkan diri, tiba-tiba abang boleh bersuara untuk menghalang individu itu meneruskan niatnya.

“Perkara itu diceritakan anggota keluarga selepas abang sedar daripada koma. Bukan abang berlagak, tetapi selagi boleh ikhtiar, abang akan usaha sendiri dengan pertolongan keluarga,” katanya.

Mamat berkata, sudah menjadi prinsipnya untuk tidak mengharap belas ihsan orang, apatah lagi dirinya dirawat di hospital swasta.

“Takkan abang mahu minta bantuan, lainlah kalau hidup melarat. Sebelum timbul perkara berbangkit, lebih baik jika bantuan disalurkan kepada mereka yang lebih memerlukan,” katanya.

Terhutang budi dengan peminat

Saat bertarung nyawa, Mamat berkata, bukan wang ringgit yang diharapkan, sebaliknya doa yang dinantikan untuk mengembalikan semula kesihatannya.

“Abang bersyukur apabila ada peminat yang membuat solat hajat ketika abang sedang koma. Malah, ada juga surau, madrasah dan masjid yang turut berbuat demikian.

“Abang tidak mengenali mereka, tetapi ukhuwah yang terjalin ini akan tetap abang kenang sampai bila-bila. Abang rasa diri begitu disayangi,” ujar pengarah kelahiran Ipoh, Perak ini dalam nada terharu.

Duduk bersembang dengan lelaki ini, membuatkan diri leka kerana bicaranya sentiasa disulami jenaka. Sukar sebenarnya untuk membezakan ayat yang terpacul dari bibirnya itu serius atau gurauan.

Namun, saat dia berkongsi jalan cerita dan judul filem terbarunya yang juga sekuel filem pecah panggung, Hantu Kak Limah, hilai tawa memenuhi hening suasana.


MAMAT bersama pelakon terkenal Hong Kong, Andy Lau meraikan kejayaan kutipan pecah panggung filem Hantu Kak Limah. Foto NSTP

Optimis berkarya

Walaupun berkerusi roda kerana kakinya masih lagi lemah, semangat untuk Mamat terus berkarya tetap ampuh.

“Idea untuk menghasilkan filem sekuel ini timbul selepas abang pulih dari koma. Insya-Allah, penggambaran akan dimulakan selepas hari raya nanti. Setakat ini, semua pelakon asal akan dikekalkan.

“Abang juga baru selesai mengarahkan telefilem 17 Puasa yang akan disiarkan pada bulan ini. Jujurnya, memang agak sukar bekerja dalam keadaan berkerusi roda kerana abang suka bergerak ketika mengarah.

“Sekarang ini, abang masih dalam rawatan dan menjalani fisioterapi. Insya-Allah, abang akan dapat kembali berjalan dalam beberapa bulan lagi,” katanya optimis.

INFO:

Mamat Khalid

* Dimasukkan ke hospital swasta pada Januari lalu selepas mengadu sakit dada dan batuk.

* Pernah menerima dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) pada April 2017 akibat kepenatan dan sesak nafas.

* Pernah menerima rawatan di hospital kerana masalah jantung tersumbat pada November 2014.

Berita Harian X