Isnin, 13 Mei 2019 | 5:30pm
EINA kehilangan datuknya yang menghembuskan nafas terakhir pada 11 Mei lalu. Foto IG Eina Azman

Baju Melayu hijau jadi kenangan

KUALA LUMPUR: Pelakon Datin Paduka Eina Azman sedih datuknya, Abdul Rafar Din yang meninggal dunia pada 11 Mei lalu tidak sempat menyarung baju Melayu hijau, sedondon dengan neneknya untuk meraikan 1 Syawal.

Eina atau nama penuhnya, Ainur Syakina Azman berkata, pemergian datuknya begitu membekas di hati mereka, apatah lagi arwah baru bernikah semula dengan neneknya pada akhir tahun lalu selepas 17 tahun berpisah.

“Sebak rasanya kerana Aki (datuk) pergi tanpa sempat memakai baju Melayu hijau, sedondon dengan Tok (nenek). Mereka baru berkahwin semula selepas 17 tahun berpisah.

“Saya sayang dan akan sentiasa merindui Aki. Semoga Aki ditempatkan dalam kalangan orang yang soleh dan beriman,” luah anak bongsu daripada lima beradik itu.

Eina menerusi satu muat naik di Instagram turut berkongsi video terakhir yang sempat dirakam ibunya, Amy Roshaida sehari sebelum datuknya meninggal dunia.

Dia berkata, rakaman datuknya menyanyikan lagu Mari Sembahyang itu mengimbas nostalgia zaman kanak-kanaknya kerana ia sering dinyanyikan kepada cucunya.

Muat naik Eina itu menerima ucapan takziah daripada peminat dan selebriti yang turut berkongsi kesedihannya kehilangan insan tersayang pada bulan mulia.

Berita Harian X