Isnin, 13 Mei 2019 | 11:00am
SELESA tampil dengan imej seksi, laman sosial Scha Ellinnea sering menjadi sasaran kecaman warganet. Foto Salhani Ibrahim

Scha Elinnea takut dilabel artis kontroversi

KUALA LUMPUR: Biarpun imej ‘berani matinya’ sering dipertikai ramai, pelakon baharu, Scha Elinnea enggan bersikap hipokrit hanya kerana mahu menjaga hati orang lain.

Scha, 19, berkata dia gemar bergaya seksi sejak kecil dan bukan sengaja menampilkan imej itu hanya kerana mahu dikenali sebagai pelakon.

“Kenapa perlu menjadi hipokrit, sedangkan saya selesa dengan imej yang dibawa? Saya tidak mahu menipu dengan memuat naik gambar sopan di laman sosial, tetapi apabila bertemu di luar, peminat terkejut melihat penampilan saya.

“Memang sejak kebelakangan ini, saya kerap dikutuk warganet. Ada yang menuduh, saya sengaja berpakaian seksi untuk mendapat perhatian, sedangkan saya hanya menjadi diri sendiri. Mereka yang kenal saya, tahu cara saya berpakaian,” katanya.

Gadis kelahiran Sungai Petani, Kedah, yang diperkenalkan menerusi drama, Mr Grey, turut terkait dengan kontroversi melakonkan babak panas dalam sebuah produksi, baru-baru ini.

Scha yang melakonkan babak panas itu bersama finalis Hero Remaja 2017, Ikmal Amry, mengakui meskipun tidak selesa, mereka terpaksa meneruskannya kerana tidak mahu dianggap ‘banyak songeh’.

“Saya dan Ikmal tidak berani membantah, biarpun menggigil ketika melakukan adegan itu. Saya tertanya-tanya juga, kenapa perlu ada adegan sedemikian, sedangkan ia tidak mungkin lepas untuk siaran televisyen.

“Saya terkejut apabila bertubi-tubi menerima mesej peribadi daripada peminat Ikmal yang mengutuk. Ada yang menganggap, saya seronok melakukan adegan tidak senonoh itu, sedangkan kami hanya mengikut arahan.

“Saya benar-benar kecewa dilemparkan kata hinaan yang keterlaluan. Mereka mengadili tanpa mengenali siapa saya yang sebenar. Jangan hanya menilai berdasarkan cara saya berpakaian dan usah menuduh tanpa mengetahui perkara sebenar,” katanya.

Scha berkata, dia tidak memerlukan kontroversi memalukan untuk menaikkan namanya.

“Ketika isu ini mula diperkatakan, saya sangat tertekan. Saya fikir air muka keluarga, tetapi mujur mereka faham. Isu ini sangat memberi kesan, namun saya tidak anggap ia sebagai noktah kerjaya seni.

“Saya terima semua ini sebagai cabaran. Kalau tidak kuat, memang saya akan binasa. Saya pilih untuk tidak memikirkannya lagi, biarpun laman sosial saya masih diserang warganet. Saya ikhlas mengejar cita-cita sebagai pelakon, bukan mahu menjadi artis kontroversi,” katanya.

Berita Harian X