Ahad, 12 Mei 2019 | 9:00am
PENYANYI dan pelakon, Aliff Aziz, kembali membuka ruangan komen di Instagram, beberapa hari lalu. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Aliff kembali buka ruangan komen Instagram

KUALA LUMPUR: Selepas hampir dua bulan menutup ruangan komen di Instagram gara-gara dikecam netizen berkaitan isu rumah tangga dengan isteri, Bella Astillah, Aliff Aziz kembali membuka ruang terbabit.

Ibu penyanyi dan pelakon sensasi kelahiran Singapura itu, Siti Hafiza Sheikh Mohamad, antara yang terawal memberi komen positif sebagai tanda sokongan untuk anaknya.

“Alhamdulillah, syukur! Rezeki Allah itu luas anakku. Jika ramai yang mengeji, yakinlah lebih ramai yang berhati mulia dan sentiasa memaafkan, menasihati dan menyokong. Kerana mereka juga insan yang tidak sempurna. Bangkit dengan hati yang tawakal kepada-Nya,” tulisnya.

Hafiza menambah, dia turut terbuka jika netizen menegur kesalahan yang dibuat anaknya kerana menyifatkan ia dilakukan atas dasar prihatin.

“Menegur itu sangat-sangat digalakkan, tetapi seperti saya pernah kongsi (sebelum ini), niat tidak menghalalkan cara dan apa yang hendak dikongsikan oleh sesiapa pun atas bahu mereka sendiri.

“Mudah-mudahan kita lebih prihatin apabila mahu menegur insan lain kerana pastinya kita sendiri tidak sempurna. Wallahualam. Saya hargai komen anda dengan mengucapkan terima kasih,” ujarnya.

Selain itu, rata-rata netizen turut meninggalkan komen pada beberapa foto yang dimuat naik Aliff, beberapa hari lalu.

Akhir Februari lalu, Aliff sekali mencetuskan kontroversi apabila dikatakan menjalin hubungan dengan pelakon, Oktovia Manrose, termasuk ke pusat hiburan bersama-sama.

Terdahulu, artis berusia 28 tahun itu terheret dalam kontroversi pada Julai 2017 apabila dikatakan menjalinkan hubungan dengan pelakon, Afifah Nasir. Bella bagaimanapun memaafkan perbuatan suaminya dan berusaha membuka buku baharu.

Pasangan itu mendirikan rumah tangga pada 9 September 2016 dan dikurniakan seorang putera, Ayden, yang kini berusia dua tahun.

Berita Harian X