Sabtu, 11 Mei 2019 | 6:14pm

Yazit rai hari lahir dengan menu berbuka istimewa

KUALA LUMPUR: Pemuzik berpengalaman, Yazit Ahmad, memilih untuk meraikan ulang tahun kelahirannya yang ke-57, semalam, tanpa kek hari jadi.

Sebaliknya, bekas pemain dram kumpulan Search itu lebih selesa menyambutnya secara sederhana bersama keluarga.

“Saya tidak mahu sebarang kek hari jadi kali ini kerana ia sudah seperti sambutan orang Inggeris. Begitupun, saya dan isteri (Ramlah Ahmad) sepakat untuk menyediakan menu berbuka puasa yang sedikit istimewa.

“Isteri yang jadi chef, manakala saya pula jadi tukang sibuk. Bagi sambutan hari lahir saya, semalam, isteri menyediakan ketam yang dimasak ala rendang Negeri Sembilan.

“Biasanya, menu terbabit menggunakan ayam. Tetapi, kami cuba sesuatu yang berbeza. Nampaknya, percubaan itu menjadi dan bolehlah ia dimasak lagi pada musim raya nanti,” kata Yazit ketika ditemui selepas menerima kunjungan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, di kediamannya di Wangsa Maju, hari ini.

Ditanya mengenai harapannya sempena ulang tahun kelahiran kali ini, Yazit yang berdepan masalah buah pinggang sejak 10 tahun lalu berkata, dia cuma berdoa agar diberikan kesihatan yang baik.

“Jika ditanya mengenai impian atau keinginan kepada orang sakit seperti saya ini, kami cuma nak sihat sahaja. Selain itu, saya juga harap dimurahkan rezeki untuk meneruskan kehidupan,” katanya.


YAZIT dan isteri turut mencari pendapatan sampingan dengan menjual beg dihasilkan Ramlah, yang boleh didapati menerusi Instagram @ramyzt. - Foto NSTP

Sementara itu, Yazit tidak menyangka Ahli Parlimen Port Dickson berkenaan sudi menjenguknya, hari ini.

“Saya juga amat berterima kasih kerana pihak berkenaan turut mempunyai perancangan untuk membantu mengurangkan beban saya, terutama membabitkan kos dialisis,” katanya.

2966 dibaca
PRESIDEN PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim (kanan) bersama Yazit Ahmad ketika beliau melawat bekas anggota kumpulan Search itu di kediamannya di Wangsa Maju, hari ini. - Foto Mahzir Mat Isa
Berita Harian X