Rabu, 8 Mei 2019 | 3:00pm
ADIRA terkilan tidak sempat meraikan 1 Syawal bersama bapanya yang menghembuskan nafas terakhir pada 21 Mac lalu. Foto Amirudin Sahib

Adira terkilan tak sempat rai lebaran bersama bapa

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Adira Suhaimi mengakui, terkilan tidak sempat membawa dua anaknya, Anggrek dan Assan bertemu bapanya sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir pada 21 Mac lalu.

Adira atau nama penuhnya, Siti Adira Suhaimi berkata, dia juga sebak tidak sempat meluangkan banyak masa bersama bapanya, Suhaimi Rajiman, 57, yang meninggal dunia di Hospital Sultanah Aminah, Johor Bahru.

“Sebelum meninggal dunia, arwah ada memberitahu, mahu berjumpa dengan cucunya. Memang saya merancang untuk membawa anak bertemunya pada raya nanti.

“Terkilan rasanya apabila hasrat itu tidak kesampaian, tetapi Allah lebih menyayanginya. Pemergian bapa agak mengejut dan kali terakhir kami bertemu tiga bulan sebelum arwah menghembuskan nafas terakhir,” katanya.

Penyanyi yang sedang popular dengan lagu Pujaan Hati itu berkata, meskipun tidak membesar dan mendapat kasih sayang bapanya sejak dilahirkan, dia tidak pernah menyimpan dendam.

Malah, Adira berkata, dia mengambil keputusan mencari bapanya ketika usianya 19 tahun disebabkan terlalu rindu, selain ingin mengenali lelaki itu dengan lebih dekat.

“Kepada mereka yang masih mempunyai ibu dan bapa, hargailah selagi hayat mereka masih dikandung badan. Setiap kali mengingati arwah, saya jadi emosional, tambahan pula ketika ini, kita baru menyambut Ramadan dan tidak lama lagi, bakal meraikan 1 Syawal.

“Banyak perkara yang tidak sempat di lakukan bersama ayah. Saya terkilan kerana sepanjang hayatnya, kami tidak pernah berpeluang menyambut hari raya bersama,” katanya.

Adira ditemui pada majlis pelancaran koleksi raya tudung Hermanas X Adira di The Curve, semalam. Mengulas kerjasama itu, Adira berkata, dia mula mengenali jenama terbabit ketika membuat ulasan produk.

“Tidak sangka mereka menawarkan saya untuk menjalin kerjasama. Untuk koleksi ini, kami menawarkan 12 rekaan keseluruhan dan setiap rekaan mempunyai lebih lima kombinasi warna,” katanya.

918 dibaca
Berita Harian X