Selasa, 7 Mei 2019 | 1:56pm
Ika mengambil keberkatan Ramadan untuk mengumumkan dirinya kini hamil peringkat fasa trimester. Foto Ihsan Ika Nabella

Ika Nabella hamil

KUALA LUMPUR: Melepasi fasa trimester kehamilan, Ika Nabella berkongsi khabar gembira bakal menimang cahaya mata melalui Instagram, kelmarin.

Mengambil berkat Ramadan yang penuh keberkatan, paparan foto dirinya di sisi suami, Muhammad Zaid Aznam yang meletakkan tangan di perut isteri, menunjukkan betapa bahagianya pasangan ini menanti kelahiran si comel.

Penantian sekian lama untuk beroleh zuriat terjawab apatah lagi, Ika atau nama penuh, Ika Nabila Abdul Rahim pernah mengalami keguguran.

“Akhirnya, saat yang dinanti-nanti bagi mana-mana isteri yang mahu melangkah ke fasa menjadi ibu sudah tiba.

“Walaupun dulu pernah keguguran, saya akur. Dua tahun saya tunggu untuk meraih kembali momen diragut itu.

“Alhamdulillah, rezeki tahun ini, saya berisi kembali. Semuanya berkat kesabaran, doa, ikhtiar dan tawakal.

“Sekarang, saya baru melepasi fasa trimester pertama,” katanya kepada BH Online.

Menurut pelakon yang digilap bakatnya dalam program realiti, Akademi Fantasia (AF), dia pada mulanya, memilih untuk tidak terlalu beriya-iya berkongsi berita kehamilan.

“Saya pernah diuji (keguguran)... Jadi, saya berhati-hati sebab takut apa yang akan terjadi kelak.

“Kali ini, saya gembira dan teruja hendak berkongsi berita ini. Apatah lagi, kita baru meraikan Ramadan... Semuanya bagai tersusun cantik. Saya ambil berkat pada bulan mulia untuk mengumumkan perkara ini.

“Terima kasih kepada mereka yang mendoakan agar saya hamil lagi,” katanya.

Berkongsi pengalamannya hamil selepas keguguran kira-kira dua tahun lalu, Ika memberitahu, proses itu berlangsung secara semula jadi.

“Macam-macam ikhtiar saya buat. Ada beberapa individu yang baik hati pulang dari Makkah dan menghadiahkan saya buah zuriat tanpa diminta.

“Jadi, salah satu ikhtiar adalah dengan meminum buah zuriat,” katanya berkongsi petua.

Berkat kesabaran dan usaha berterusan, Ika sedia berkongsi pengalaman kepada wanita yang berusaha mendapatkan cahaya mata.

“Saya bersedia membantu mana-mana wanita yang mahu hamil. Saya faham dan tahu perasaan menanti detik kehamilan.

“Selain itu, saya sentiasa mendoakan wanita yang pernah keguguran akan terus diberi rezeki hamil lagi. Semoga segala keinginan dan hajat mereka dipermudahkan,” katanya.

Pada Februari 2017, Ika mengalami keguguran ketika kandungannya mencecah dua bulan.

Ketika itu, Ika dilaporkan reda dengan takdir Tuhan dan percaya, ada hikmah di sebalik dugaan yang dialami.

Tambah Ika lagi, setiap pertanyaan kenalan atau mana-mana individu berhubung kehamilan, selama ini dianggap doa.

“Mungkin ada sesetengah wanita menganggap pertanyaan seumpama itu terlalu sensitif.

“Biasalah, apabila melepasi fasa berkahwin, ada pula orang yang hendak tengok rumah tangga dilengkapi anak kecil... Ini normal.

“Saya selalu berdepan situasi di mana ramai yang bertanya bila hendak mengandung. Selalunya saya akan balas, minta mereka doakan,” katanya.

Ika berkata, setiap kali jawapan itu diberi, balasan yang didengari pasti berbunyi positif dengan doa suatu hari kelak, dirinya beroleh rezeki berbadan dua.

“Bayangkan, betapa ramai yang bertanya dan mendoakan saya hamil. Saya terlalu bahagia menerima doa dan pertanyaan sebegitu,” katanya.

Berita Harian X