Isnin, 6 Mei 2019 | 11:00am
Lia dan teman lelaki enggan mengambil peduli mengenai hadirnya insan ketiga yang dikatakan cuba mengganggu hubungan mereka. Foto NSTP Halimaton Saadiah Sulaiman

Lia mengaku hubungan diganggu insan ketiga

KUALA LUMPUR: Serius menjalin cinta dengan teman sekolah sejak tiga tahun lalu, pelakon, Lia Natalia, 27, merancang bernikah sebelum usia mencecah 30 tahun.

Lia atau nama sebenar, Alia Afiqah Abden memberitahu, dia dan teman lelaki, Azizi belum menetapkan tarikh perkahwinan sebaliknya menanti detik sesuai apabila masing-masing sudah bersedia.

“Semestinya perancangan untuk berkahwin itu ada... Jika diizinkan Tuhan, saya mahu menamatkan zaman bujang pada usia 30 tahun.

“Kami belum menetapkan tarikh atau berbincang secara terperinci. Insya-Allah jika ada tarikh, saya akan umumkan,” katanya kepada BH Online.

Bercerita lanjut mengenai Azizi, Lia berkata, mereka adalah teman sekolah dan mengikuti kelas tuisyen sama di Tawau, Sabah.

Akuinya lagi, mereka hanya rapat selepas beberapa tahun lalu.

Lumrah pasangan bercinta, tambah Lia, dia dan Azizi pernah diduga kerana kehadiran insan ketiga.

Namun, atas dasar percaya, dia dan Azizi masing-masing tidak mengendahkan individu yang cuba menggugat hubungan mereka.

“Nak kata orang kacau, saya atau dia pernah diganggu. Tetapi saya anggap perkara ini biasa dalam perhubungan. Jika dalam perkahwinan boleh berlaku, tidak mustahil bagi pasangan bercinta.

“Apa-apapun, bagi saya, semuanya berbalik kepada diri sendiri sama ada mahu melayan atau tidak.

“Alhamdulillah, kami boleh mengatasi situasi itu. Apa yang penting saling percaya... Doakan hubungan kami ya,” katanya.

Berita Harian X