Ahad, 5 Mei 2019 | 1:36pm
Zamani berpegang pada prinsip, jodoh itu rahsia Allah dan cinta juga tidak semestinya berakhir di jenjang pelamin. - NSTP/Mohd Khairul Helmy Mohd Din

'Bukan kisah cinta saya'

KUALA LUMPUR: Mungkin cintanya kepada seorang wanita sudah tiada, tetapi ia bukanlah bermakna perasaan itu sudah mati dalam diri lelaki ini.

Malah, penyanyi bersuara lemak merdu, Zamani, berpegang pada prinsip, jodoh itu rahsia Allah dan cinta juga tidak semestinya berakhir di jenjang pelamin.

Keluhannya itu dapat didengar menerusi lagu terkini berjudul Aduh ciptaan Faizal Tahir. Lirik pula hasil ilham si penyanyi bersama Mike Chan, Adib Hussin, Romeo dan Karim Karam.

Lagu bergenre pop kontemporari itu menampilkan sisi berbeza dari segi lontaran vokal dan cara nyanyian artis berusia 48 tahun itu. Karya terbaru itu sudah diperdengarkan sejak 1 Mac lalu.

Manis melemparkan senyuman, Zamani mengakui:

“Kesimpulan lagu Aduh ini boleh saya katakan seperti cinta terhadap manusia yang sudah sampai ke tahap sifar.

“Tetapi, kita masih ada Allah untuk mengadu dan mencurahkan cinta kepada-Nya. Penghujungnya, kita kembali pada Allah, bukan manusia. Itulah tafsiran saya terhadap lirik Aduh ini. Begitupun secara jujurnya, ia tiada kena mengena dengan sejarah silam kehidupan saya.

“Saya cuba menghayati lirik lagu ini sedalam-dalamnya. Cerita yang tiada pun terpaksa dibayangkan. Bagaimanapun, tafsiran setiap manusia berbeza-beza.

“Pasangan bercinta dan pernah putus cinta mungkin memahami lirik lagu ini dengan maksud yang berbeza," katanya kepada BH Online.

Zamani berkata, inilah pengalaman pertamanya bekerjasama dengan Faizal.

“Saya ingat Faizal seorang yang serius. Jadi, pada mulanya saya berasa segan juga. Begitupun, apabila bekerjasama dengannya, tekaan saya silap.

“Faizal, seorang berfikiran terbuka dan sentiasa memberikan kebebasan kepada saya menyampaikan lagu ini dengan cara tersendiri.

“Sebenarnya, sukar untuk saya mengubah cara nyanyian. Lagu Aduh pula amat berbeza dengan karya pernah dirakam selama 25 tahun bergelar penyanyi,” katanya.

Zamani berkata, dia terpaksa berulang-alik ke studio beberapa kali bagi menjayakan rakaman lagu terbabit.

“Tiga kali saya cuba merekodkan lagu Aduh, tetapi ada sahaja pertukaran yang harus dilakukan. Saya hanya berpuas hati dengan rakaman selepas beberapa kali mengubahnya. Aduh menampilkan perubahan besar dari segi vokal. Saya tidak lagi menyanyi dengan cara lama.

“Mulanya, saya merakamkan lagu ini dengan cara nyanyian lama. Tetapi, apabila diperdengarkan semula, ia seperti tidak sesuai. Ada bahagian yang memerlukan vokal dinamik. Genre pop kontemporari pula satu konsep baharu buat saya. Berikutan itu, saya menyanyikannya berulang kali, hinggakan di rumah pun saya buat rakaman sendiri,” katanya.

Katanya, dia tidak mahu melakukan perubahan secara mendadak, tetapi memerlukan pembaharuan untuk ledakan kerjaya seni.

“Jika boleh, saya mahu peminat dengar dan tahu, itu suara Zamani walaupun saya menyanyikan lagu dalam genre baharu,” katanya.

Penyanyi berpengalaman yang popular dengan lagu Gerimis Mengundang, Tak Mungkin Berpaling dan Nur Kasih itu berkata, tidak mudah buatnya untuk melakukan perubahan selepas menyanyi dengan cara tersendiri sejak lebih dua dekad lalu.

“Memang sukar, tetapi saya kena bersedia melakukan perubahan pada diri, demi anjakan kerjaya.

“Saya berjanji mahu muncul dengan sesuatu yang berbeza, kali ini. Namun, saya bukannya mahu menjadi orang lain, sebaliknya saya harus mengikut peredaran muzik semasa.

“Lagi satu, saya mahu kekal relevan bersama generasi baharu, bukan berada di takuk lama,” katanya.

Penyanyi kelahiran Ampang, Selangor itu berkata, dia bertuah apabila Faithful Music menerbitkan Aduh. Warner Music Malaysia pula sebagai pengedarnya.

“Istimewanya, saya dapat bekerjasama dengan nama besar seperti Faizal dan Mike Chan. Kita tahu mereka menghasilkan banyak lagu hebat.

“Apabila membaca lirik lagu ini, rasanya macam ringkas dan tidak terlalu puitis. Tetapi, apabila dikaji semula, ia sebenarnya karya amat mendalam,” katanya.

Zamani berkata, dia sudah bersedia dengan risiko penerimaan peminat terhadap pembaharuan yang dilakukan.

“Saya tahu, peminat sudah biasa mendengar suara saya menyampaikan lagu bergenre balada. Saya juga tahu ada risikonya apabila melakukan perubahan. Tetapi, kenapa saya perlu takut untuk mencuba?

“Saya hanya mengeluarkan sebuah single. Jika tidak menjadi, saya sudah bersedia. Saya juga takkan berputus asa untuk terus mencuba melakukan perubahan dalam kerjaya,” katanya.

2205 dibaca
Berita Harian X