Rabu, 1 Mei 2019 | 11:51am
NOURUL selamat melahirkan anak perempuan secara pembedahan di sebuah pusat perubatan, malam tadi. Foto IG Nourul Depp

Nourul selamat lahirkan Isabella Depp

KUALA LUMPUR: Penyanyi Nourul Wahab selamat melahirkan anak ketiga, hasil perkahwinannya dengan Eric Daniel Depp, malam tadi.

Bayi perempuan yang diberi nama Isabella Depp itu dilahirkan secara pembedahan, kira-kira jam 11.12 malam di sebuah pusat perubatan di ibu negara.

“Alhamdulillah, selepas beberapa hari melalui tanda untuk bersalin, Isabella selamat dilahirkan dengan berat 3 kilogram. Keadaan saya dan bayi sihat.

“Pada mulanya saya ingatkan dapat melahirkan secara normal. Tetapi bagi mengelakkan komplikasi kerana air ketumban pecah selama 12 jam, saya disarankan supaya menjalani pembedahan,” katanya kepada BH Online.

Penyanyi lagu Kerana Terluka itu berkata, dia juga tidak menyangka gurauan anak lelakinya, Raphael yang mencadangkan supaya dia bersalin secara pembedahan benar-benar terjadi.

“Teringat pula Raphael ada bercakap, 'Mama sakit perut, pergilah hospital. Minta doktor 'belah' perut. Seminit saja, selepas itu sudah tak sakit'.

“Memang betul, perut saya dibedah. Ketika melahirkan Raphael dulu, saya turut bersalin secara pembedahan.

Saya bagaimanapun, ingin mengucapkan terima kasih kepada semua yang sentiasa mendoakan kami. Nanti saya kongsi wajah puteri kami,” katanya.

Nourul atau nama sebenarnya, Noorul Huda Abdul Wahab, 41, mendirikan rumah tangga dengan Eric, 54, pada 6 Jun 2012 dan dikurniakan dua cahaya mata lelaki, Zachary Depp, 6, serta Raphael Depp, 4.

Menerusi perkahwinan pertama bersama komposer dan penyanyi Ajai, Nourul dikurniakan anak perempuan, Ayu Nazirah yang kini berusia 21 tahun.

5974 dibaca
Berita Harian X