Selasa, 30 April 2019 | 9:00am
MIRA tak rimas cuba ‘dijodohkan’ pelakon gandingan. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

Soal hati tak boleh dipaksa - Mira Filzah

KUALA LUMPUR: Keserasiannya bergandingan dengan Remy Ishak dalam drama rantaian, Pujaan Hati Kanda membuatkan ramai yang ingin melihat hubungan mereka berlanjutan di luar kamera.

Mira Filzah bagaimanapun, tidak terlalu mengambil serius perkara itu, sebaliknya mahu terlebih dahulu memberi dirinya ruang untuk mengejar cita-cita sebelum memikirkan soal hati.

“Ia perkara biasa apabila penonton terbawa-bawa dengan watak yang dilakonkan hingga mahu melihat kami bercinta, seterusnya mendirikan rumah tangga.

“Tambahan pula, masing-masing masih belum berpunya, jadi ada sahaja yang mahu melihat kami bersatu. Secara peribadi, saya tidak tertekan atau terganggu dengan permintaan peminat kerana itu bukan kali pertama saya cuba ‘dijodohkan’ dengan pelakon gandingan.

“Dalam soal peribadi, saya berhak menentukan haluan hidup saya. Jika nanti ditakdirkan saya bertemu jejaka pilihan hati dan bakal melangsungkan perkahwinan, saya tidak akan sorok perkara yang baik. Selagi belum ada pengakuan dari bibir saya, itu bermakna saya masih sendiri,” katanya.

Penerima trofi Artis Baharu Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) Ke-29 itu berkata, buat masa ini, dia lebih selesa memberikan fokus kepada keluarga dan perancangan kerjayanya.

“Saya perlu bekerja keras kerana masih banyak yang mahu saya capai dan perbaiki. Pada fasa sekarang, saya tidak boleh main-main lagi.

“Saya mahu mempelbagaikan karakter dalam lakonan kerana banyak lagi watak yang belum dicuba. Jika diberikan peluang, saya teringin berlakon filem cinta Islamik di Indonesia,” katanya.

Mira bersyukur, meskipun ramai bakat baharu sedang mewarnai industri hiburan, namanya masih menjadi pilihan dan jadual hariannya tetap padat dengan pelbagai aktiviti.

“Saya akan muncul dalam program masakan bersama Sherry Alhadad, selain membintangi telefilem Pujaan Hati Kanda versi raya yang bakal memulakan penggambaran pada awal bulan depan.

“Selepas raya, saya akan ke lokasi penggambaran drama arahan Michael Ang dan menjayakan sebuah lagi produksi untuk slot Akasia di TV3. Alhamdulillah, jadual saya padat sehingga akhir tahun ini,” katanya.

4215 dibaca
Berita Harian X