Ahad, 28 April 2019 | 11:00am
PELAKON, Nad Zainal, pada acara Ufit Celebration Audela di Tirai Ratu Event Hall, Setia Alam, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

Nad, suami tegas didik Yem

KUALA LUMPUR: Pelakon, Nad Zainal, dan suami sepakat untuk menggunakan cara ‘lama’ dalam mendidik anak lelaki mereka, Fahad Ibrahim, yang kini berusia dua tahun.

Nad atau nama penuhnya Farah Nadia Zainal Abidin berkata, dia perlu bersikap tegas biarpun cara membesarkan cahaya mata mereka dianggap kejam oleh segelintir pihak.

“Kami memilih untuk menggunakan cara lama iaitu memukul Yem (panggilan manja anaknya) di tempat yang sepatutnya. Bukan cara saya dan suami untuk hanya memukulnya apabila tiada mata yang memandang.

“Tidak kira di mana sekalipun, sekiranya Yem sudah melampaui batas, maka suara atau tangan kami pasti kena pada tempat yang sepatutnya. Terpulang kepada ibu bapa lain bagaimana hendak mendidik anak mereka. Namun bagi kami, walaupun tidak sampai hati, masing-masing kena juga bersikap tegas.

“Yem sudah mula bersekolah untuk berkawan... Biasalah kanak-kanak apabila bersama ibu bapa, manja mereka lebih daripada kebiasaan. Saya dan Faliq pula memang tegas serta garang, cuma kami akan cepat kasihan jika Yem menangis atau sebagainya,” katanya kepada BH Online.

Nad, 28, mendirikan rumah tangga dengan Muhammad Faliq Amirudin, 29, pada 18 Disember 2015.


NAD bersama anak lelakinya, Fahad Ibrahim atau Yem. - Foto Instagram Nad Zainal

Sementara itu, ditanya mengenai perancangan mereka untuk menambah cahaya mata, Nad menyerahkan sepenuhnya perkara itu kepada rezeki.

Tegasnya, dia dan suami tidak pernah merancang dalam soal terbabit.

“Sebelum ini, saya pernah menyimpan harapan apabila ada tanda-tanda seperti sedang hamil. Jadi, saya dan suami memilih untuk mengelakkan tekanan apabila berbicara soal cahaya mata. Kami menyerahkan sepenuhnya kepada rezeki,” kata Nad ketika ditemui pada majlis meraikan pemenang program UFit anjuran produk Audela di Setia Alam.

Menyentuh produk diwakilinya itu, Nad berkata, dia bersyukur apabila ia semakin berkembang sejak berada di pasaran kira-kira tiga tahun lalu.

“Biarpun produk kecantikan berlambak di pasaran, Audela tetap menjadi pilihan mereka yang ingin kelihatan cantik dan sihat.

“Saya bukan sekadar menjadi wajah produk ini, sebaliknya turut berperanan sebagai pelabur. Malah, seperti semua sedia maklum, saya sendiri menjadi tikus makmal dan mencubanya sebelum ia dipasarkan. Saya tidak rela jika ia memberikan kesan negatif kepada pengguna,” kata Nad.

712 dibaca
Berita Harian X