Khamis, 25 April 2019 | 7:02pm
ERRA terus membiarkan persoalan status hubungannya dengan Shahir menjadi teka-teki. Foto Khairul Azhar Ahmad

'Kalau betul putus, nanti orang tahu juga'

KUALA LUMPUR: “Alhamdulillah, saya gembira dengan kehidupan sekarang. Dalam apa juga situasi, saya perlu membahagiakan diri. Kalau tunggu apabila berdua baru mahu gembira, payahlah...,” kata pelakon dan penyanyi, Erra Fazira.

Tenang ketika ditanya mengenai status hubungannya dengan juara Akademi Fantasia musim kelapan, Shahir, Erra berkata, persoalan itu mungkin akan terhenti apabila dia membuat pengumuman sama ada mereka masih bercinta atau sudah putus.

“Saya bukan budak sekolah yang perlu membuat pengakuan apabila menjalin hubungan. Sejak awal lagi, saya tidak pernah membuat apa-apa pengakuan mengenai hubungan kami. Tetapi, jika memang kami putus, lambat-laun orang akan tahu juga,” katanya.

Terus diasak persoalan yang sama, Erra hanya berkata, dia dan Shahir masih berkawan, namun tiada perancangan untuk membawa hubungan mereka ke fasa baharu.

“Itu tidak bermakna kami bergaduh, sebaliknya saya dan Shahir masih lagi berhubung sebagai kawan. Jika ditanya, saya masih lagi solo dan gembira bersama anak tunggal saya,” katanya.

Menyambut setiap pertanyaan dengan senyuman, Erra berkata, dia tumpang gembira melihat teman artis seperti Fasha Sandha yang kembali bertemu jodoh.

“Peluang kedua itu datang tidak kira usia. Saya juga tidak terkecuali mahu mencari kebahagiaan, tetapi tidak semestinya ia hanya ditemui apabila hidup berdua. Bahagia itu subjektif.

“Sudah tentu, sebagai wanita, saya gembira jika dipertemukan dengan jodoh yang baik, malah itu juga menjadi doa saya selepas lima tahun bersendiri,” katanya.

Turut meluahkan hasrat untuk menunaikan haji, tahun ini, Erra yang ditemui pada majlis The Primadona Show, petang tadi, berkata, dia bakal kembali dengan single terbaru ciptaan Hafiz Hamidun, manakala lirik Iman Imran iaitu Menangkah Cinta selepas sambutan 1 Syawal nanti.

Tidak menafikan gementar apabila berpeluang kembali ke studio rakaman, Erra berkata, dia mengambil masa sebulan membuat persediaan untuk merakamkan lagu itu.

“Kali terakhir saya menghasilkan album, 10 tahun lalu. Selepas itu, saya ada menghasilkan single, termasuk lagu duet bersama Datin Seri Umie Aida, tetapi sekadar untuk suka-suka.

“Nyanyian sebenarnya sudah sebati dengan diri, malah saya masih menerima undangan persembahan. Sebelum ini, memang saya berhasrat untuk mengeluarkan single, tetapi urusan itu menjadi lebih pantas dengan bantuan pihak pengurusan, Mind Order Sdn Bhd.

“Lagu ini mungkin kedengaran seperti Pasrah, cuma liriknya lebih berat kerana ke arah ketuhanan,” katanya yang baru selesai menjalani penggambaran filem Wangi.

Berita Harian X