Khamis, 25 April 2019 | 5:35pm
PELAKON, Efira Loy, ketika hadir pada majlis pelancaran kolaborasi fesyen Elfira Loy X MC Vogue. - Foto NSTP

Elfira sahkan sedang berbadan dua

KUALA LUMPUR: Pelakon terkenal, Elfira Loy, 25, mengesahkan dirinya sedang berbadan dua selepas empat bulan mendirikan rumah tangga.

Belum sedia berkongsi usia sebenar kandungan, Elfira bagaimana berkata, dirinya sudah pun melepas trimester pertama kehamilan.

“Alhamdulillah, selepas empat bulan berkahwin, saya kini berbadan dua. Selama ini pun, jika ada orang bertanya secara berdepan, saya akan maklumkan mengenai perkara ini (hamil).

“Cuma, sebelum ini ia masih terlalu awal untuk dikongsi, jadi saya belum bersedia mengumumkan kehamilan secara terbuka. Namun, kali ini suami turut memberikan keizinan untuk saya mengumumkannya,” kata Elfira ketika ditemui pada majlis pelancaran kolaborasi fesyen Elfira Loy X MC Vogue, di sini hari ini.

Menurut Elfira, pada awalnya, dia memang tidak tahu sedang mengandung sewaktu melunaskan beberapa penggambaran drama dan telefilem.

Mengakui kepenatan apabila terbabit dalam beberapa projek lakonan, dia akhirnya mengambil keputusan untuk berjumpa doktor bagi mengesahkan kehamilan.

“Saya tentunya gembira apabila diberikan rezeki untuk hamil awal, apatah lagi kita maklum, banyak kes wanita di luar sana yang terpaksa menunggu lama bagi mendapatkan cahaya mata.

“Saya bersyukur apabila doa saya dan orang ramai yang mahu melihat kami menimang cahaya mata dengan cepat dimakbulkan,” katanya.

Elfira diijabkabulkan dengan pilihan hati, Faris Khairol Anwar, 24, pada 1 Januari lalu di Cyberjaya.

5382 dibaca
Berita Harian X