Khamis, 25 April 2019 | 9:00am
SYATILLA seronok melihat telatah anak sulung melayani adiknya. Foto IG Syatilla Melvin

Syeriv seronok layan adik

KUALA LUMPUR: Pelakon, Syatilla Melvin yang menimang cahaya mata kedua pada 17 April lalu mengakui, anak sulungnya, Syeriv Samheizy begitu teruja menerima kehadiran orang baharu dalam keluarga mereka.

Isteri kepada Shaheizy Sam itu berkata, Syeriv sudah mula menunjukkan ciri-ciri sebagai abang yang penyayang apabila begitu mengambil berat terhadap adiknya.

“Dia begitu teruja apabila adiknya dilahirkan. Pantang ada masa dan ruang, dia pasti mahu mendekati serta bermain-main dengan adiknya.

“Seronok melihat telatahnya, terutama apabila dia meminta adiknya diletakkan di atas pangkuan. Dia memang tidak boleh berenggang dengan adiknya.

“Nampak sifat pelindungnya begitu tinggi dan dia cukup risau jika adiknya itu ‘hilang’ daripada pandangan. Ada sahaja keletahnya yang membuatkan saya dan suami terhibur,” katanya.

Syatilla yang melahirkan anak keduanya secara pembedahan mengakui, pengalaman membesarkan Syeriv membuatkan dia semakin betah menguruskan diri ketika berpantang.

“Ketika melahirkan Syeriv, dua tahun lalu, saya agak takut untuk bergerak aktif memandangkan ia pengalaman pertama bersalin. Tetapi, kali ini saya lebih bersedia.

“Setiap prosedur sepanjang melahirkan anak kedua ini dapat saya lalui dengan tenang. Melihat anak di depan mata, hilang semua sakit,” katanya memaklumkan, masih belum bersedia mendedahkan nama cahaya mata perempuannya itu.

Pelakon kelahiran Parit Buntar, Perak yang popular menerusi drama Sha & Shah dan Kerna Syurga Bukan Percuma itu mendirikan rumah tangga dengan Sam pada 8 Februari 2016.

Berita Harian X