Rabu, 24 April 2019 | 3:07pm
PENYANYI, Aiman Tino, membuat laporan di Balai Polis Kuala Kubu Bharu, Selangor, berhubung penyebaran video aksi panas lelaki dikatakan miripnya. - Foto ihsan Aiman Tino

Kita jumpa di mahkamah! - Aiman Tino

KUALA LUMPUR: Penyanyi, Aiman Tino, 20, membuat laporan polis, malam tadi, apabila sekali lagi dikaitkan dengan video aksi panas seorang lelaki dikatakan miripnya.

Aiman atau nama sebenarnya Mohamad Aiman Yusri berkata, tindakan itu dibuat apabila individu tidak bertanggungjawab terbabit didakwa semakin berani mengenakan dirinya sehingga menjejaskan reputasi diri dan keluarganya.

"Berkenaan video yang tular, baru-baru ini, yang mengaibkan diri saya dan keluarga, saya sudah pun mengambil tindakan dan saya memandang serius perkara ini. Kita jumpa di mahkamah nanti," tegasnya.

Aiman membuat laporan terbabit di Balai Polis Kuala Kubu Bharu, Selangor, jam 11.52 malam tadi.

Aiman berkata, ia adalah tindakan wajar bagi memberi pengajaran kepada mana-mana individu yang cuba mengambil kesempatan terhadap artis mahupun orang lain.

"Tindakan ini wajar diambil agar memberi pengajaran kepada si penyebar. Jangan ingat kami sebagai artis hanya berdiam diri, tanpa berbuat apa-apa.

"Kalau individu terbabit berniat untuk melakukan perkara sama lagi, dia perlu ingat, dirinya sedang diburu," katanya.

Minggu lalu, sebuah video lelaki mirip Aiman tersebar di laman sosial. Rakaman terbabit dipercayai susulan daripada video panas pemuda mirip Aiman yang tersebar, kira-kira sebulan lalu.

Mengulas mengenai baju dipakai lelaki dalam video itu yang kelihatan sama seperti persalinan dimilikinya, Aiman berkata, dia juga mendapatkan pakaian di butik jenama tertentu, seperti orang lain.

7986 dibaca
Berita Harian X