Ahad, 21 April 2019 | 8:05pm
NELYDIA bersyukur suami tidak halang minat untuk teruskan kerjaya seni. Foto Halimaton Saadiah Sulaiman

'Keluar dengan suami pun dah kira bulan madu'

SHAH ALAM: Pelakon Nelydia Senrose tidak berhasrat untuk memperlahankan aktiviti seninya, meskipun tanggungjawabnya semakin bertambah selepas menjadi isteri pada 6 April lalu.

Nelydia, 24, berkata sebaik selesai majlis persandingannya, dia kembali sibuk menyusun aktiviti seni, termasuk memenuhi undangan menyerikan acara dan menguruskan perniagaan.

“Alhamdulillah, saya gembira majlis pernikahan dan persandingan kami berjalan lancar. Dari segi kehidupan, semuanya tetap berjalan seperti biasa. Saya masih sibuk memenuhi tawaran berlakon, selain memenuhi jemputan dan merencana perjalanan perniagaan.

“Saya tidak nampak sebab kenapa perlu memperlahankan kerjaya selepas berumah tangga. Memang tanggungjawab saya bertambah apabila perlu menguruskan keperluan suami, tetapi saya tidak akan perlahankan kerjaya seni kerana ia sudah menjadi minat,” katanya ketika ditemui pada pertunjukan fesyen Starvilion Balik Raya, baru-baru ini.

Pelakon yang popular menerusi drama Setia Hujung Nyawa, Bukan Kerana Aku Tak Cinta dan Encik Imam Ekspres itu juga bersyukur kerana suaminya, Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid, 35, tidak pernah menghalang minatnya untuk terus berlakon.

Kesibukan mereka juga kata Nelydia, membuatkan dia dan suami belum merancang untuk berbulan madu.

“Bagi saya dan suami, setiap kali keluar bersama-sama, itu sudah dikira sebagai bulan madu. Ia bukan mengenai lokasi atau destinasi yang kita ingin pergi, sebaliknya lebih bermakna apabila orang yang kita sayang sentiasa berada di sisi.

“Saya tidak mahu terikut-ikut dengan tradisi. Apatah lagi, puasa semakin dekat, jadi lebih baik kami manfaatkan ruang itu bersama-sama kerana ini pengalaman pertama saya berpuasa dengan suami,” katanya.

Bercakap mengenai kerjasama kedua Impian by Nelydia bersama Starvilion, Nelydia berkata, kali ini dia menampilkan rekaan baju raya yang lebih feminin, minimalis dan sesuai digayakan pada bila-bila masa.

“Untuk tahun ini, saya rujuk kembali kesilapan koleksi tahun lalu dan berusaha memperbaikinya. Saya begitu teliti dalam penjagaan kualiti, terutama material yang digunakan, selain menitikberatkan rekaan. Koleksi kali ini lebih mencerminkan jiwa jenama saya,” katanya.

4432 dibaca
Berita Harian X