Jumaat, 19 April 2019 | 11:00am
Haqiem menasihatkan peminat agar tidak terlalu leka dalam memuja dirinya. Foto Aziah Azmee

Haqiem pesan usah leka

KUALA LUMPUR: Berpegang niat memperbetulkan persepsi segelintir pihak yang mendakwa kerjaya anak seni membuatkan pengikut leka dan meninggalkan ibadat, Haqiem Rusli berkongsi peringatan di laman sosial.

Haqiem memberitahu, dia mencari rezeki sebagai penyanyi kerana ingin membantu keluarga.

“Perkara ini timbul selepas saya membaca artikel mengenai halal atau haram kerjaya sebagai penyanyi, iaitu yang menjadikan bidang seni sebagai sumber pendapatan sehingga dikatakan melalaikan segelintir pihak.

“Saya jadi penyanyi kerana mahu membantu keluarga dan mahu orang gembira mendengar lagu saya.

“Bukanlah saya mahu menidakkan dakwaan pihak terbabit, cuma saya mahu menjalankan tanggungjawab untuk mengingatkan peminat agar tidak leka,” katanya kepada BH Online.

Dalam perkongsian di Instagram, Haqiem menasihatkan peminat agar tidak lalai apabila mendengar lagu-lagunya atau bergegas pergi ke konsert di mana dia membuat persembahan hingga meninggalkan ibadat.

Memohon pengertian peminat, Haqiem sekadar menunaikan tanggungjawab mengingatkan peminat agar tidak terbawa-bawa dalam memuja dirinya.


PERKONGSIAN Haqiem Rusli di Instagram beliau, baru-baru ini, yang kemudian dipadamkan olehnya.

Sekalipun tidak mampu memberi kesedaran kepada semua pihak, Haqiem berharap perkongsian itu membuka mata kelompok kecil.

“Saya tidak mahu disoal di akhirat nanti. Apa yang dikongsi boleh diamalkan semua orang, bukan peminat saya sahaja, sebaliknya semua penggemar muzik tempatan.

“Perkongsian itu bersifat positif dan saya mewakili semua artis berhubung isu ini,” katanya.

Mengulas mengenai perkembangan kerjaya, penyanyi Selamat Tinggal Sayang itu bakal tampil dengan single berentak balada yang berkisar cerita benar dalam hubungan ayah dan anak.

“Ia adalah lagu nasihat yang diadaptasi daripada kisah yang pernah viral di laman sosial. Saya bukan hendak perli sesiapa, sebaliknya mahu mengingatkan mereka yang terleka hingga mengabaikan ibu atau bapa.

“Jika single balada sebelum ini mengangkat elemen cinta, saya tampilkan kelainan kali ini. Tidak sabar hendak menantikan penerimaan orang ramai,” katanya.

Rabu lalu, Haqiem hadir pada sidang media kempen Ramadan Raya Rangkaian Televisyen Media Prima (RTMP), di sini.

670 dibaca
Berita Harian X