Khamis, 18 April 2019 | 3:12pm
KHAI Bahar melunaskan impian menjalani penggambaran video muzik di Perlis menerusi single terbaru, Air Mata. - Foto ihsan Khai Bahar

Saya bukan tiru Yuna - Khai Bahar

KUALA LUMPUR: Selepas penyanyi yang kini berpangkalan di Amerika Syarikat, Yuna, memilih Perlis sebagai lokasi penggambaran video muzik lagu terbarunya, Forevermore, Khai Bahar turut mengikut jejak sama.

Penyanyi kelahiran negeri di utara tanah air itu berkata, hasrat yang sekian lama dipendam baru kini dapat dilaksanakan menerusi single ke-10 nyanyiannya, Air Mata.

Single terbabit adalah hasil ciptaan sepenuhnya penyanyi yang mula dikenali dengan lagu Bayang itu.

“Sebagai anak jati Perlis, saya juga mahu mengabadikan negeri kelahiran saya dalam video muzik lagu dendangan sendiri. Apatah lagi banyak lokasi menarik di Perlis yang boleh dikongsi bersama peminat.

“Bagaimanapun, tidak timbul soal saya cuba meniru sesiapa. Malah, lagu ini sendiri sudah lama saya rakam. Cuma, baru kini hasrat menjalani penggambaran di negeri berkenaan mampu direalisasikan,” katanya kepada BH Online.

Kata Khai, 25, penggambaran video muzik terbabit dapat disempurnakan dalam masa sehari, 16 April lalu.

“Saya turut berkongsi idea untuk menghidupkan lagi jalan cerita video muzik ini,” katanya yang tidak berdepan masalah menjayakan klip itu.

Mengenai lagu berkonsep balada itu pula, Khai atau nama sebenarnya Muhammad Khairul Baharuddin berkata, kesedihan adalah perkara lumrah dalam kehidupan manusia.

“Banyak faktor yang membuatkan kita sedih. Dalam kesedihan itu pula, kita pasti berasa lebih resah dan buntu hingga ada kalanya tidak mampu berbuat apa-apa.

“Begitupun, usahlah kita memaksa atau membiarkan diri larut dalam perasaan sedemikian. Kita kena keluar daripada kesedihan yang dirasa demi meneruskan langkah dalam kehidupan,” katanya.

Berita Harian X