Isnin, 15 April 2019 | 5:52pm
Shiha mahu peminat menilai sendiri kandungan video muzik single terbarunya, Pipiyama yang akan dilancarkan di YouTube, malam ini. Foto NSTP Zulfadhli Zulkifli

Baru 'teaser' dah kecoh...

KUALA LUMPUR: Belum apa-apa lagi, teaser atau sedutan daripada versi penuh video muzik single terbaru Shiha berjudul Pipiyama sudah menjadi topik hangat dan perdebatan netizen.

Semuanya gara-gara klip video itu lagu dangdut itu dikatakan mengeksploitasi tubuh sasa jejaka yang dipaparkan dalam keadaan separuh bogel.

Netizen mengkritik ‘teaser’ yang dikongsi Shiha keterlaluan dan bertentangan dengan adab Melayu.

Mengulas perkara itu, Shiha yang makin dikenali di Indonesia, meminta peminat bertenang dan tidak membuat andaian bukan-bukan.

“Sudahkah anda melihat video muzik lagu Pipiyama? Nilaikan kandungannya apabila klip itu dimuat naik di YouTube pada jam 8 malam ini.

“Jangan cepat melatah dan membuat telahan video muzik itu mengeksploitasi tubuh lelaki hanya berdasarkan sedutan ‘teaser’.

“Tonton dahulu sebelum buat andaian,” katanya kepada BH Online.

Shiha berkata, adegan dedah tubuh itu bertujuan menunjukkan perbezaan antara lelaki bujang dan duda.

“Lelaki bujang lazim dikaitkan dengan fizikal dan rupa kacak. Bagi lelaki berkahwin atau berstatus duda, mungkin penampilan kurang segak tetapi banyak wang.

“Bagi saya, ini adalah suatu persepsi normal,” katanya mengulas mesej disampaikan dalam lagu ciptaan komposer dan penulis lirik dari seberang, Atra Petrana.

Ditanya apakah lagu ini ada kaitan dengan kehidupan peribadi, Shiha mengaku pernah mengalaminya.

Tambah Shiha, dia sedia menerima jodoh sama ada lelaki bujang atau duda, asalkan bukan suami orang.

2346 dibaca
Berita Harian X