Selasa, 9 April 2019 | 1:02pm
Uqasha mahu Nelydia dan suami segera dikurniakan zuriat. Foto IG Nelydia Senrose

Uqasha mahu Nelydia lekas timang anak

KUALA LUMPUR: Melepaskan adik tersayang, Nelydia Senrose ke fasa perkahwinan bukanlah sesuatu yang mudah bagi aktres jelita, Uqasha.

Sebagai kakak, Uqasha harus menerima hakikat mereka tidak selama-lamanya berdua dan melakukan banyak perkara bersama.

Itu luahan Uqasha dalam enteri terbaru di Instagram yang ditujukan khas buat Nelydia yang kini bergelar isteri kepada Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid.

Dalam perkongsian itu, Uqasha berharap Hafez dapat menjaga dan membimbing Nelydia dengan baik dan bertanggungjawab.

“Hafez kena jaga dia baik-baik. Kalau dia meragam, layankan saja... Sebab dia jenis manja.

“Ragam dia tak lama sebab dia jenis cepat sejuk. Kalau boleh, memang nak mereka cepat dapat anak.

“Lagipun, satu-satunya anak saudara saya, Aryan Khan sudah membesar,” luahnya dalam entri yang mengusik hati pengikutnya.

Uqasha menambah, dia masih tidak percaya adik tersayangnya sudah bergelar isteri.

“B (panggilan buat Nelydia yang merujuk kepada Baby) cantik sangat pada hari perkahwinannya... Busana dan solekan melengkapi dirinya pada malam itu.

“Tahniah B kerana sudah jadi isteri orang... Macam tak percaya B sudah ada hidup baharu.

“Nanti, Ramadan dan Aidilfitri B akan beraya dengan suami. Kita sudah tidak boleh tidur sama dan bangun sahur sekali.

“Teringat kenangan kita selalu kena marah dengan Mama kerana bangun Sahur sudah hampir masuk Imsak,” katanya.

Uqasha berkata, adiknya kini sudah ada tanggungjawab menyediakan keperluan suami seperti makanan dan pakaian.

Tambah manis, entri dimuat naik Uqasha mendapat reaksi Nelydia.

“Sha (panggilan untuk Uqasha) sudah buat saya menangis pagi ini. Tapi Sha harus ingat, apa yang terjadi, saya tetap adik kesayangan kamu. Kita akan sama macam dulu.

“Saya masih nak tidur dengan Sha pada musim Hari Raya. Tak kira ke mana sekalipun saya beraya, kamu akan saya bawa bersama,” katanya.

Berita Harian X