Isnin, 8 April 2019 | 1:00pm
NELYDIA dan suami pada majlis resepsi yang berlangsung di sebuah hotel, malam tadi. Foto Ihsan @aqoimran

Nelydia Senrose usik suami seperti YB

KUALA LUMPUR: “Selama ini, sudah terlalu banyak majlis perkahwinan yang saya hadiri. Tetapi kali ini, suasananya berbeza kerana tetamu pula yang datang meraikan majlis persandingan saya dan isteri.

“Seperkara yang saya sedar, majlis perkahwinan, terutama persediaan dan memenuhi permintaan sesi fotografi memang cukup memenatkan,” kata Mohd Hafez Halimi Abdul Hamid, 35, yang juga suami kepada pelakon jelita, Nelydia Senrose.

Pada majlis resepsi mereka yang berlangsung di sebuah hotel, di sini, malam tadi, Hafez yang petah memberikan ucapan turut berseloroh mengakui, selepas berumah tangga, dia akan terus memenuhi undangan perkahwinan pasangan lain.

“Tetapi, untuk perkahwinan sendiri, saya janji ini majlis pertama dan terakhir,” kata ahli perniagaan itu, sekali gus mendapat tepukan gemuruh lebih 700 tetamu yang hadir.

Nelydia, 24, yang berada di sisi suaminya hanya tersenyum, seterusnya berseloroh dengan tetamu supaya menjadi saksi janji Hafez yang mahu sehidup semati dengannya.

“Semua dengarkan? Saksi tau...” usik Nelydia yang sebelum itu membuat tetamu ketawa apabila secara berseloroh, menyifatkan ucapan panjang suaminya itu seperti ahli politik.

“Hidup YB (Yang Berhormat). Cukuplah awak yang bagi ucapan sempena perkahwinan ini,” usik pelakon drama, Encik Imam Ekspres itu sebaik suaminya selesai berucap.

Terdahulu, Hafez dalam ucapannya turut berterima kasih kepada semua pihak yang bertungkus lumus memastikan persiapan dan perjalanan majlis perkahwinan mereka lancar.

Pasangan ini diijabkabulkan pada Sabtu lalu dalam satu majlis tertutup di lokasi yang sama pada jam 3.28 petang. Pada majlis itu, pengantin lelaki menyerahkan mas kahwin RM10,000 bersama sembilan dulang hantaran berbalas 11.

5513 dibaca
Berita Harian X