Ahad, 7 April 2019 | 9:30am
PENYANYI, Yuna, memilih Perlis sebagai lokasi penggambaran video muzik lagu terbarunya, Forevermore. - Foto ihsan Haida Yusof

Yuna pilih Perlis lokasi video muzik lagu baharu

KUALA LUMPUR: Kerinduan terhadap zaman persekolahan, terutama ketika menetap di Perlis, memberi inspirasi kepada penyanyi Malaysia yang berpangkalan di Amerika Syarikat (AS), Yuna, untuk mengabadikan detik dan pemandangan menarik di negeri terbabit menerusi video muzik lagu terbarunya, Forevermore.

Ekoran kreativiti diketengahkan dalam video berkenaan sehingga menghasilkan visual sangat cantik dan penuh warna-warni, Yuna atau nama penuhnya Yunalis Mat Zara'ai, 32, mendapat pujian netizen yang rata-rata menyukai buah tangan terkini daripadanya itu.

“Pada mulanya, syarikat rakaman mahu saya merakamkan video muzik ini di Los Angeles, namun saya menyarankan supaya ia dilakukan di Malaysia. Sebelum pembikinannya, saya bayangkan juga visual menarik yang boleh mengembalikan semula nostalgia zaman persekolahan dan menggamit kerinduan saya terhadapnya, terutama ketika menetap di Perlis.

“Lantas saya mengajak suami, Adam Sinclair, untuk mengarahkan video muzik ini. Selain negeri di utara tanah air itu, kami juga memilih beberapa lokasi menarik di Kuala Lumpur untuk dipaparkan di dalamnya.

“Jujurnya, saya tidak menjangka peminat akan menyukainya. Pujian yang diberikan mereka sudah pasti memberikan kami semangat untuk berkongsi karya lebih menarik pada masa akan datang,” katanya kepada BH Online.

Bukan sekadar kreatif dari sudut pembikinan, Yuna turut memaparkan sisi berbeza dirinya apabila dilihat menari dalam video muzik berkenaan. Ia sesuatu yang tidak pernah dilakukan artis terbabit dalam mana-mana video muziknya, sebelum ini.


YUNA memaparkan sisi berbeza dirinya dalam video muzik Forevermore. - Foto Instagram Yuna

“Saya memang suka menari sejak zaman sekolah lagi. Saya adalah penggemar tarian tradisional Melayu dan India. Ketika di Los Angeles, saya juga ada mengikuti kelas tarian hip hop bersama pereka tari, Karma Raines.

“Idea untuk menari timbul ketika mahu menghasilkan ‘storyboard’ video muzik ini. Tiba-tiba, saya berasa mahu melakukan eksperimen, iaitu menggabungkan elemen tarian tradisional dan hip iop. Walaupun ia sesuatu yang baharu, saya seronok kerana berpeluang mencuba sesuatu yang berbeza,” kata penyanyi Dan Sebenarnya dan Crush ini.

Mengenai penampilannya yang cukup bergaya pula, Yuna berkata, memang menjadi hasratnya untuk menerapkan elemen fesyen dalam klip terbabit.

“Saya bekerja dengan ramai pereka fesyen terkenal dalam video muzik ini. Saya sangat berterima kasih kepada penata gaya yang berjaya menampilkan saya dalam pelbagai jenis gaya berbeza. Gaya dan pemakaian saya berubah dalam setiap babak.

“Ia sangat menyeronokkan kerana setiap gaya yang dipilih menepati cita rasa saya,” ujarnya yang kini berada di tanah air atas urusan kerja.

Sehingga malam tadi, Forevermore yang dikongsi di laman YouTube mulai 4 April lalu berjaya meraih lebih 335,000 tontonan dan berada pada kedudukan ketiga video sohor kini di laman sosial terbabit.

Berita Harian X