Jumaat, 5 April 2019 | 6:41pm
Video muzik single terbaru Yuna, Forevermore jadi topik hangat netizen sejak dilancarkan tengah hari tadi. Foto NSTP Muhd Zaaba Zakeria

Proton Saga, tarian Yuna topik hangat netizen

KUALA LUMPUR: Paparan kereta nasional Proton Saga, panorama bendang di Perlis dan wajah masyarakat berbilang kaum di Malaysia pantas menjadikan video muzik single terbaru Yuna, Forevermore buah mulut netizen, sejak tengah hari tadi.

Paling menarik, klip video arahan suaminya, Adam Sinclair itu menyaksikan buat kali pertama, Yuna berdansa bersama empat penari dalam persalinan warna-warni yang dipercayai dirakamkan di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Tengah malam tadi, Yuna atau nama sebenarnya, Yunalis Mat Zarai melancarkan single terbaru ciptaannya itu di platform digital.

“Kongsikan lagu ini bersama semua ahli keluarga anda! Saya sayangkan anda semua. Terima kasih atas sokongan tanpa henti terhadap kerjaya seni saya selama ini.

“Biarpun mengambil memakan sedikit masa, namun, akhirnya, lagu ini dilancarkan,” luahnya di Instagram.

Video muzik yang dimuat naik di YouTube sejak jam 12 tengah hari tadi, kini sudah mencatat lebih 100,000 tontonan.

Yuna kini berada di Malaysia dipercayai bagi menyiapkan kerja-kerja terakhir pelancaran single berkenaan selain menghadiri beberapa acara fesyen.

Rata-rata netizen memuji lagu Forevermore yang diberi suntikan elemen tradisional pada permulaan lagu apabila Yuna bersenandung.

Tahun lalu, Yuna melakar sejarah tersendiri apabila mengumpul jumlah penstriman mencecah 36 juta menerusi aplikasi muzik, Spotify sepanjang 2018.

Jumlah itu merangkumi pendengar dari 65 negara, sekali gus membuktikan pengaruh Yunalis di pentas antarabangsa.

Yuna mendirikan rumah tangga dengan pengarah video, Adam Yousof Mohamed Sinclair, 35, pada 26 Januari 2018.

3288 dibaca
Berita Harian X