Jumaat, 5 April 2019 | 5:50pm
NEON Band mengukuhkan kedudukan mereka menerusi single kedua, Hingga Akhir Nanti. NSTP/Halimaton Saadiah Sulaiman

Hingga Akhir Nanti lonjakkan populariti Neon Band

KUALA LUMPUR: Penerimaan positif peminat terhadap single kedua mereka, Hingga Akhir Nanti membuatkan kumpulan baharu, Neon Band mampu menarik nafas lega.

Sambutan positif peminat itu, akui mereka, menangkis tanggapan Neon Band sebagai kumpulan semusim apabila masih berupaya mempertahankan hayat kumpulan.

Vokalisnya, Ezwan Ariff, berkata mereka berusaha keras memacu bakat selepas kemunculan sulung menerusi lagu Cinta Yang Telah Mati diterima ramai.

“Kami terharu apabila percubaan kedua ini menerima pelbagai komen positif peminat. Biarpun mengambil sedikit masa, penantian kami berbaloi apabila ramai mula menyedari kemunculan lagu itu selepas dipilih sebagai runut bunyi drama, Aku Cinta Dia, lakonan Aiman Hakim Ridza dan Hannah Delisha.

“Pada awalnya, kami agak skeptikal kerana tidak mudah untuk mengulangi pencapaian luar biasa Cinta Telah Mati. Sudah tentu, ia memberikan kami cabaran untuk menerbitkan single baharu yang mampu menandingi lagu itu.

“Alhamdulillah, pengorbanan kami berbaloi bersama sentuhan keramat Ippo dan KR ini,” kata Ezwan.

Selain Ezwan, Neon Band turut membariskan Adam Slv (gitar), Azuad Abdullah (dram), Freddie Kay (keyboard), Naim (bes) dan Shafique Sharif (gitar).

Tidak kisah digelar sebagai band lagu OST, Adam pula berkata, mereka melihatnya sebagai doa. Baginya, apabila sesebuah lagu dipilih menjadi runut bunyi drama, ia memberi kelebihan untuk memperkenalkan komposisi itu dengan lebih berkesan.

“Penonton boleh membayangkan lagu itu setiap kali mengingati drama bersiri kegemaran mereka. Elemen ini membantu melonjakkan lagi populariti sesebuah lagu dan menjadi platform promosi berkesan,” kata Adam.

Berkongsi kecenderungan, Ezuwan berkata, masing-masing mempunyai cita rasa muzik tersendiri, namun demi memenuhi selera peminat, mereka mencabar diri meneroka sisi lain.

Semakin selesa dengan genre pop rock, Neon Band sentiasa berlatih untuk menajamkan skil permainan muzik mereka.

“Komitmen terhadap kerjaya dan muzik bergerak seiring. Kedua-duanya sama penting, membuatkan kami sanggup mencari masa membuat latihan selepas waktu kerja.

“Kumpulan popular juga sentiasa berlatih demi memantapkan skil, inikan pula Neon Band yang baru setahun jagung dalam industri muzik.

“Ruang itu juga kami manfaatkan untuk berbincang mengenai persembahan akan datang. Kepuasan beraksi secara langsung di hadapan penonton membuatkan kami teruja menunggu detik itu,” katanya.

Bukan hanya menerusi YouTube, sambutan peminat turut dirasai Neon Band ketika menyertai acara promosi bergerak, termasuk Konsert Hot Kool Jam, tahun lalu.

Sementara itu, bagi melicinkan lagi kerjaya seni mereka, Neon Band kini bernaung di bawah pengurusan Indigital Music Sdn Bhd.

Berita Harian X