Khamis, 4 April 2019 | 4:39pm
Alvin mengaku peminat meminta dia menasihati Emma dalam kontroversi pelakon jelita itu membuka tudung, baru-baru ini. Foto NSTP Halimaton Saadiah Sulaiman

Peminat suruh Alvin nasihat Emma

KUALA LUMPUR: Keputusan teman akrab, Emma Maembong membuka hijab, Februari lalu, turut menyebabkan pelakon dan penyanyi, Alvin Chong terkena tempias.

Dihujani mesej netizen yang meminta dirinya menasihati Emma, Alvin bagaimanapun enggan melayan permintaan peminat, ketika kontroversi itu ‘panas’.

“Benar, saya ada bercakap dengan Emma mengenai kekeliruan yang dialaminya. Emma ada sebab tersendiri mengapa keputusan itu (menanggalkan hijab) diambil.

“Berilah masa kepada Emma untuk membuat keputusan dalam hidupnya sendiri.

“Apabila diajukan peminat mengenai hal ini, saya berterus terang dan meminta mereka menerima Emma seadanya.

“Janganlah kita cuba menukar dan menentukan hala tuju hidup artis diminati. Sebaliknya, doakan yang terbaik buat mereka,” katanya kepada BH Online.

Alvin dan Emma akrab sejak membintangi drama bersiri, Awak Suka Saya Tak? Gandingan mereka dianggap secocok dan memikat hati ramai.

Dalam perkembangan lain, Alvin berkata, dia berhati-hati untuk rapat dengan rakan industri berikutan pernah ‘ditikam’ sahabat sendiri.

Alvin menjelaskan, kisah hitam lalu banyak memberi pengajaran. Malah, dia lebih selesa berkawan rapat dengan teman bukan daripada kalangan penggiat industri seni.

“Pernah ‘ditikam’ rakan industri, saya berjaga-jaga kerana tidak mahu peristiwa sama berulang.

“Betapa pedihnya hati apabila terdengar apa yang diperkatakan mengenai saya. Bukan apa, saya terbuka dikritik, cuma bukan di belakang saya.

“Biarlah kritikan atau pendapat disuarakan sendiri di hadapan saya. Cara itu dapat membantu saya untuk memperbaiki diri,” katanya.

Akui Alvin, dia mengambil masa untuk menaruh kepercayaan kepada individu lain.

“Saya bangga dengan pencapaian diri kerana sebelum ini saya berdepan masalah keyakinan.

“ Dahulu saya sering memikirkan kata-kata orang. Sekarang, saya lebih terbuka terutama dengan sokongan peminat dan teman rapat,” katanya.

2721 dibaca
Berita Harian X