Rabu, 3 April 2019 | 11:00am
SHALMA Eliana mengakui rapat dengan Ismail Izzani sebagai kawan. Foto Nurul Shafina Jemenon

'Ismail cuma kawan, kami tak bercinta'

KUALA LUMPUR: Sering memuat naik gambar berdua di laman sosial, penyanyi baharu, Shalma Eliana bagaimanapun, menafikan sedang menjalin hubungan cinta dengan Ismail Izzani.

Eliana berkata, dia dan Ismail rapat kerana mereka berkongsi minat yang sama, selain sering bertukar pandangan mengenai perkembangan kerjaya masing-masing.

“Kami sekadar teman rapat dan hubungan kami tidak lebih daripada itu. Buat masa ini, saya dan Ismail lebih selesa menjadi sahabat. Namun, sekiranya ada jodoh, saya tidak menolak.

“Saya sering meminta pendapat Ismail mengenai bidang nyanyian dan dia tidak lokek berkongsi ilmu serta pengalaman. Berbanding saya, Ismail terlebih dulu menapak, jadi dia sudah memahami sedikit sebanyak perjalanan industri hiburan.

“Kami juga mempunyai perancangan untuk bekerjasama pada masa akan datang. Sebenarnya, kami sudah lama berkawan, sejak dia dikenali menerusi lagu Sabar, cuma kebelakangan ini baru rapat,” katanya.


MINAT terhadap muzik merapatkan Shalma Eliana dengan Ismail Izzani. Foto IG Shalma Eliana

Adik kepada pengacara, Shalma Aina yang ditemui pada majlis pelancaran The Singing Pizza itu berkata, perkongsian gambar bersama Ismail di media sosial juga bukan bertujuan memaklumkan kepada umum mereka sedang bercinta.

Eliana yang bernaung di bawah pengurusan Universal Music baru melancarkan single pertama, Janji Terindah yang dihasilkan Malique pada November lalu.

Mengulas perwatakannya yang dikatakan sombong, Eliana mengakui, sukar untuk mengikis tanggapan itu kerana raut wajahnya menyebabkan ramai menyangka dia kurang mesra.

“Saya sering menerima maklum balas mengatakan saya kurang mesra dan sombong. Tiada apa yang dapat saya lakukan, sebaliknya berharap persepsi itu akan bertukar selepas mereka mengenali saya dengan lebih dekat.

“Sebagai anak bongsu, saya memang manja, tetapi tidak sehingga membuatkan orang lain kurang selesa,” katanya.

4812 dibaca
Berita Harian X