Selasa, 2 April 2019 | 11:00am
AMYLEA yakin gandingan dengan Megat mampu ulangi pencapaian cemerlang dilakar bersama Kaer dulu. Foto Ihsan Amylea Azizan

Tetap Kamu buat Amylea, Kaer bermasam muka

KUALA LUMPUR: Penyanyi Amylea Azizan mengakui, pernah berkecil hati dengan rakan duetnya, Kaer Azami apabila menolak untuk bekerjasama dalam lagu terbaru, Tetap Kamu.

Tampil bersama pasangan baharu, Megat yang juga protege Aizat Amdan dalam program Mentor 7, Amylea berkata, dia menghormati permintaan Kaer yang menarik diri daripada projek itu pada Disember lalu atas sebab tersendiri.

“Memang agak terkilan kerana saya mengharapkan kerjasama bersama Kaer akan berterusan untuk lagu ini. Kami bermasam muka sekejap kerana saya mahu kekalkan jenama Amylea X Kaer yang sudah ada pengikut.

“Sebelum Megat dipilih, hati saya masih berbelah bahagi dan berharap Kaer akan mengubah fikirannya. Saya juga sanggup tangguhkan proses rakaman lagu ini, tetapi mungkin sudah menjadi rezeki Megat untuk bersama saya,” katanya.

Mengenai kerjasamanya bersama Megat, Amylea percaya dengan bakat yang dimiliki jejaka kelahiran Sabah itu.

“Pasti akan ada yang membandingkan cara penyampaian Megat dan Kaer. Itu normal, namun saya percaya Megat juga mempunyai keistimewaan tersendiri dari sudut vokal.

“Selain Tetap Kamu, Megat juga ada merakamkan lagu solo, Cintaku yang turut terpilih menjadi runut bunyi drama Nur 2,” katanya.

Terdahulu, kolaborasi Amylea dan Kaer membuahkan hasil membanggakan apabila lagu Tak Pernah Hilang ciptaan Farouk Roman melakar kejayaan manis terpilih sebagai finalis Anugerah Juara Lagu Ke-32.

Serasi bergandingan dengan Farouk, Amylea berkata, mereka menjadikan lagu runut bunyi ciptaan komposer Indonesia, Melly Goeslaw sebagai inspirasi setiap kali diberi kepercayaan menghasilkan komposisi.

“Melly antara komposer yang saya kagumi kerana dia berjaya menzahirkan emosi yang diperlukan setiap kali menghasilkan lagu runut bunyi.

“Jika ada yang cuba menyamakan kami, kredit seharusnya diberikan kepada Farouk Roman sebagai pencipta lagu kerana saya hanya bertindak sebagai penulis lirik.

“Farouk juga sangat mengagumi Melly. Sudah pasti, kami mahu menjadi seperti dia kerana kagum kemampuannya dalam menterjemahkan emosi pada setiap lagu ciptaannya,” kata Amylea ketika ditemui pada majlis pelancaran lagu, Tetap Kamu, duetnya bersama Megat, semalam.

Justeru, apabila ada yang menganggap Tetap Kamu dilihat mempunyai persamaan dengan lagu Ratusan Purnama yang dihasilkan Melly, Amylea berkata, mereka hanya menjadikan sentuhan komposer itu sebagai inspirasi.

“Namun, ia diolah mengikut kreativiti sendiri untuk disesuaikan dengan tuntutan jalan cerita Nur 2,” katanya.

Berita Harian X