Selasa, 2 April 2019 | 9:00am
ANZALNA bakal melahirkan cahaya mata sulung Jun ini. Foto Azhar Ramli

Hamil enam bulan, Anzalna kuat melaram

KUALA LUMPUR: Pelakon Anzalna Nasir mengakui, dia mempunyai tabiat baharu sejak hamil iaitu suka melaram, sekalipun ketika berada di rumah.

Anzalna, 31, yang sedang mengandung enam bulan berkata, jika sebelum ini dia selesa tampil sederhana, namun sejak hamil, dia gemar bersiap, termasuk memakai bulu mata palsu dan kanta lekap.

“Sebelum hamil, saya tidak suka pakai bulu mata palsu. Saya juga lebih selesa bergaya sederhana. Namun, tidak sangka lain pula jadinya apabila saya mengandung.

“Saya akan menghias diri, tidak kira sama ada di rumah atau apabila mahu keluar. Setiap kali menghadiri majlis, saya akan memakai bulu mata palsu dan kanta lekap. Memang berbeza dengan Anzalna yang dulu,” katanya.

Pelakon drama Memori Cinta Suraya yang ditemui pada majlis perlantikannya sebagai duta produk kesihatan NR di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), di sini berkata, dia juga mudah letih sejak hamil.

“Saya paling suka membeli-belah, namun disebabkan cepat letih, saya biasanya mendapatkan barangan secara dalam talian.

“Cuma, setiap kali beli, mesti tersalah saiz. Saya masih beranggapan diri memakai saiz S, sedangkan perut semakin membesar,” selorohnya.

Ditanya mengenai jantina bayi yang dijangka bakal dilahirkan Jun ini, Anzalna enggan berkongsi mengenainya.

Malah, keluarganya juga masih belum mengetahui jantina bayi yang dikandung kerana dia mahu memberikan mereka kejutan.

“Saya suka membuat kejutan dan seronok setiap kali melihat reaksi masing-masing. Saya dan suami sepakat untuk merahsiakan dulu jantina bayi kami sehingga majlis doa selamat yang akan diadakan nanti.

“Keluarga juga tidak tahu. Lucu pula melihat gelagat mereka yang berteka-teki kerana masing-masing sudah tidak sabar mahu menerima ahli keluarga baharu.

“Saya berdoa semua urusan dipermudahkan nanti dan bayi yang bakal dilahirkan ini sihat walafiat. Insya-Allah, saya akan berkongsi jantina anak kami pada majlis doa selamat nanti,” katanya.

Anzalna mendirikan rumah tangga dengan ahli perniagaan, Muhamad Hanif Mohamad Zaki pada 22 Februari 2016.

Berita Harian X