Isnin, 1 April 2019 | 3:14pm
PERNAH mendapat peluang merakamkan lagu, Amyra akur bakatnya tidak terarah ke dunia nyanyian. Foto Nurul Shafina Jemenon

Nyanyian bukan dunia Amyra Rosli

KUALA LUMPUR: Pernah muncul dengan dua single, Amyra Rosli bagaimanapun, akur dengan kemampuan dan enggan memaksa diri meneruskan cabang seni yang bukan menjadi minatnya.

Amyra, 28, berkata, biarpun mendapat kepercayaan untuk meneroka cabang seni baharu, dia sedar kemampuan diri dan tidak mahu tamak mengejar peluang.

“Dalam hidup, kita perlu mencabar diri mencuba sesuatu yang baharu dan saya juga tidak terkecuali. Namun, selepas mencuba dunia nyanyian, saya sedar kemampuan diri.

“Saya perlu terima kenyataan, nyanyian bukan dunia saya, sebaliknya lebih puas menjadi pelakon. Ketika mencuba dulu, saya sedar mutu nyanyian saya tidak terlalu hebat untuk bersaing dengan penyanyi sedia ada,” katanya.

Pernah muncul dengan single, Apa Saja menampilkan Waris dan Juzzthin, selain lagu duet, Kisah Cinta Kita bersama suami, Amar Baharin, Amyra berkata, hatinya belum tergerak untuk kembali ke studio rakaman.

“Cukuplah saya dikenali sebagai pelakon, selain memantapkan lagi bakat dalam dunia pengacaraan. Banyak lagi yang perlu saya asah sekiranya mahu terus bertahan dalam bidang ini,” katanya.

Amyra sebelum ini, pernah mendapat kepercayaan untuk mengendalikan program, Muzik Muzik 32 bersama bersama Hefny Sahad.

Beralih kepada kerjaya lakonan, Amyra berkata, drama terbaru yang dijayakannya, Nur 2 akan mula bersiaran menerusi slot Samarinda di TV3, esok.

Drama arahan Shahrulezad Mohameddin itu turut dibintangi Syafiq Kyle, Noorkhiriah, Fatimah Abu Bakar, Azhan Rani, Azar Azmi dan Eyra Hazali.

“Nur 2 membawakan sedikit perubahan dari segi watak dan ia memberikan saya sedikit tekanan untuk memastikan mutu lakonan saya lebih matang.

“Andai dalam Nur, watak saya lebih bersahaja, tetapi kali ini sedikit berbeza. Bergandingan pula dengan dua watak hebat yang dilakonkan Noorkhiriah dan Azhan Rani, membuatkan saya lebih tercabar.

“Kali ini, Nur tidak lagi berendam air mata, sebaliknya dia lebih berani mempertahankan haknya. Bayangkan ketika melakonkan babak sedih, saya tidak boleh mengalirkan air mata, sebaliknya perlu mengawal emosi untuk memperlihatkan sisi berbeza Nur,” katanya.

Berita Harian X