Ahad, 31 March 2019 | 6:04pm
HAZIQ pernah disaran supaya menukar genre muzik jika mahu terus relevan. Foto IG Haziq

Haziq setia pertahan lagu tradisional

KUALA LUMPUR: Mungkin namanya tidak popular seperti penyanyi lain, namun Haziq Rosebi bersyukur, pilihan untuk memperjuangkan lagu tradisional membawa tuah.

Haziq, 31, berkata lagu tradisional membantunya untuk terus ‘bernafas’ dengan memenuhi undangan nyanyian pada acara korporat dan meraikan pembesar negara.

“Sejak dulu lagi, ramai yang mengusulkan saya menukar genre muzik untuk mengikut aliran semasa supaya lebih relevan dan tidak dipinggirkan.

“Saya bagaimanapun, tetap utuh dengan pendirian untuk terus memperjuangkan lagu tradisional. Alhamdulillah, saya masih mendapat tawaran persembahan.

“Saya bukan degil atau tidak mahu mendengar nasihat, tetapi jiwa dan minat saya lebih cenderung kepada lagu tradisional. Tambahan pula, muzik ini sudah semakin kurang diberi perhatian.

“Melihat situasi itu, saya bertanggungjawab terus berusaha memperkasakan genre ini. Alhamdulillah, dengan pendapatan hasil menyanyi lagu tradisional, saya mampu membeli rumah dan kereta,” katanya.

Bakat yang dicungkil menerusi program realiti, Akademi Fantasia musim keempat itu (AF4) mengakui, pernah terfikir untuk merakamkan lagu baharu supaya namanya tidak tenggelam.

Haziq bagaimanapun akur, penerimaan umum terhadap irama itu agak terbatas, terutama dari stesen radio komersial membuatkan dia enggan menanggung rugi.

“Teringin juga mahu tampil dengan lagu baharu, tetapi apabila difikirkan semula, ada ke stesen radio komersial yang mahu memutarkan lagu tradisional?

“Perkara itu membuatkan saya bimbang kerana kos menghasilkan lagu baharu bukan murah. Ada ketika, ia mencecah sehingga RM8,000.

“Selepas mempertimbangkan pelbagai faktor, rasanya lebih baik saya teruskan kerjaya seni dengan membuat persembahan dan memenuhi permintaan penganjur,” katanya.

Haziq pernah tampil dengan lagu zapin, Zapin Suri yang diterbitkan Allahyarham Datuk Suhaimi Mohd Zain atau Pak Ngah pada 2009.

560 dibaca
Berita Harian X