Sabtu, 30 March 2019 | 9:00am
Ippo mengamalkan pemakanan sihat dan bersenam sehingga susut 40 kilogram sejak setahun lalu. Foto NSTP Nurul Syazana Rose Razman

'Kurus sebab bersenam bukan bedah'

KUALA LUMPUR: Susut 40 kilogram dalam tempoh setahun, ada pihak menyangka kononnya penyanyi Ippo Hafiz membuat pembedahan pintasan gastrik untuk kurus.

Menafikan dakwaan itu, Ippo, 30, menjelaskan dia mengamalkan pemakanan sihat dan bersenam dalam usaha mendapatkan berat badan ideal.

Enggan menghakimi individu yang memilih pembedahan pintasan gastrik untuk kurus atas nasihat doktor, Ippo tidak mahu melatah dengan pandangan sinis segelintir pihak terhadap perubahan dirinya.

“Saya terdengar ura-ura mengatakan saya membuat pembedahan pintasan gastrik untuk kurus. Namun, saya tidak mudah melatah kerana tahu kebenarannya.

“Tidaklah sampai buat pembedahan untuk kurus, sebaliknya jika tubuh saya terlalu memerlukan, mungkin keadaannya berbeza.

“Bagi saya, pembedahan pintasan gastrik jika dibuat atas tujuan kecantikan, dianggap sebagai suatu pembaziran. Apatah lagi jika ia memberi kesan negatif kepada tubuh,” katanya kepada BH Online.

Ippo berkata, pendekatan yang diambil dirinya sangat konservatif dan mengambil masa panjang.

“Saya berusaha menurunkan berat badan demi kesihatan diri selain tampil lebih yakin ketika membuat persembahan.

“Sebenarnya, saya tetapkan sasaran menurunkan 15 kilogram (kg) lagi yang dianggap berat badan ideal sebelum berkahwin,” katanya.

Mengikut perancangan, Ippo atau nama sebenarnya, Muhammad Hafiz Yaziz dan gadis pilihan, Fara Roslan akan disatukan pada 24 Ogos depan.

“Kami bersepakat tidak mengadakan majlis pertunangan, sebaliknya terus bernikah. Fara membuatkan saya selesa di sisi, lantas meyakinkan saya untuk membawa hubungan ini ke peringkat serius.

“Fara juga sukakan kanak-kanak dan tidak kekok melayan anak angkat saya, Cinta Rizky Amanda,” katanya.

2410 dibaca
Berita Harian X