Jumaat, 29 March 2019 | 8:25pm
ZIELA berkongsi berita duka kematian ibu mentuanya menerusi Instagram beliau, hari ini. - Foto Instagram Ziela Jalil

Ibu mentua Ziela meninggal dunia

KUALA LUMPUR: Ibu mentua penerbit, Datuk Ziela Jalil, Asmah Abdullah, menghembuskan nafas terakhir hari ini.

Berkongsi berita duka berkenaan menerusi Instagramnya, Ziela yang kini berada di Maghribi meluahkan rasa terkilan tidak dapat memberikan penghormatan terakhir buat arwah.

“Allahu Akbar! Inna lillahi wa inna ilaihi raji'un. Allahummaghfirlaha warhamha wa’aafihi wa’fu anha. Ya Allah, rezeki mak dijemput Allah pada hari Jumaat penuh berkat ini. Semoga berbahagialah mak dalam Syurga Firdaus Allah hingga hari akhirat, Amin Ya Rabb Ya Mujib.

“Selamat jalan mak. Mak pergi dahulu, Ziela pasti menyusul kemudian. Berbahagialah mak menemui pencipta-Mu. Sedihnya hati ini, Allah sahaja yang tahu.

“Tidak dapat bersama memberi penghormatan terakhir buat mak, doa Ziela akan sentiasa bersama mak, Allahyarhamah Asmah Binti Abdullah,” tulisnya.

Sementara itu, anak Ziela, Dr Puteri Julia Nabilah, turut berkongsi berita duka itu di Instagramnya, beberapa jam lalu.

“Saya bersyukur kerana dapat meluangkan masa tiga minggu untuk bertemu Opah, namun tidak menyangka ia saat terakhir bertemunya. Masih teringat masakan lemang Opah setiap kali raya, yang disediakan penuh kemas dan bersih.

“Opah mempunyai hati yang bersih dan suci serta sentiasa mengambil berat mengenai kami selepas abah sudah tiada. Apa yang pasti, abah sangat menyayangi Opah.

“Subhanallah... Beruntungnya Allahyarhamah dijemput pada hari Jumaat yang mulia. Semoga Allah menghapuskan segala dosa Opah dan memberikan setinggi-tinggi darjat buat Opah di syurga Firdaus Allah... Amin... Al-Fatihah,” kongsinya.

Berita Harian X